Ma merupakan seorang guru Bahasa Inggeris sebelum menubuhkan Alibaba pada 1999. berdasarkan harga saham yang ditutup pada Jumaat lalu, Alibaba direkodkan bernilai sebanyak AS$420.8 bilion (RM1,746 bilion).

Dalam temu bual bersama akhbar The New York Times, Ma memberitahu ba­hawa persaraannya da­ripada syarikat tersebut disifatkan sebagai ‘permulaan satu era baharu’ dan bukannya pengakhiran kepada Alibaba.

Menjelang persaraannya, majalah Forbes menyenaraikan Ma merupakan antara rakyat China paling kaya dengan nilai kekayaannya mencecah sehingga AS$36.6 bilion (RM152 bilion).

Beliau bakal berusia 54 tahun pada hari persaraannya.

Ma memulakan perniagaannya selepas berhenti menjadi guru dan beliau melihat terdapat banyak peluang untuk meraih keuntungan menerusi per­niagaan secara dalam ta­lian.

Pada mulanya, Ma menjalankan operasi perniagaannya di kediamannya di timur bandar Hangzhou.

“Kali pertama saya gu­­nakan internet, saya sentuh papan kekunci dan saya rasa sudah tiba masanya untuk melakukan sesuatu yang mampu me­ngubah dunia serta China,” katanya.

Usahawan tersohor itu juga merupakan seorang pengamal senaman tai chi dan sering merujuk seni pertahanan diri China dalam strategi perniagaan serta budaya korporatnya.

Beliau merupakan gra­duan Kolej Guru Hangzhou dalam bidang pendidikan Bahasa Inggeris dan pernah menjadi pensyarah di sebuah universiti di bandar berkenaan.

Media China sebelum ini pernah melaporkan tentang kehidupan Ma yang berasal daripada keluarga miskin, selain kejayaannya menguruskan Alibaba menyaksikan medium perniagaan lelong Amerika Syarikat (AS) iaitu eBay terpaksa berundur dari pasaran China pada 2006. – AFP