Kajian oleh Pentaksiran Bahasa Inggeris Cambridge mendapati 40 peratus pelajar tahun enam telah mengatasi CEFR sementara jurang penguasaan di bandar dan luar bandar semakin mengecil, atau menghampiri sifar.
Kajian juga memecah tanggapan terhadap guru luar bandar apabila mendapati guru di luar bandar juga mempunyai tahap penguasaan sama seperti guru di bandar. Didapati lebih 50 peratus guru di Malaysia mencapai tahap C2, tahap kedua tertingi CEFR.

``Walau bagaimanapun, kalau kita lihat secara terperinci sekolah demi sekolah, jurang itu memang masih ada,’’ kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin pada sidang akhbarnya di sini selepas mengadakan pertemuan dengan professor dan penyelidik badan itu.

Kerajaan telah melantik badan pentaksiran di bawah univeriti tersohor itu untuk menilai tahap pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sekolah-sekolah di Malaysia bagi mengetahui tahap kecekapan ekoran isu penguasaan yang tidak meningkat.

Kajian itu memakan masa yang panjang iaitu sejak 2016 sehingga 2020.

Dr. Amin menambah, dapatan 2017 itu meyakinkan pihaknya apa yang dilakukan dan didokumenkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berada di landasan yang betul.

``Pada 2013 memang ada kajian secara dasar yang kita lakukan secara dalaman,’’ katanya.


Sebagai maklumat latar, CEFR mencakupi silibus, kurikulum, garis panduan, peperiksaan, buku teks, dan merupakan alat untuk merancang program yang telus dalam pendidikan bahasa.
Setelaj menerima laporan itu, Dr. Amin mendapati keputusan laporan begitu meyakinkan dan menarik.

``Salah satu ialah, jika dibandingkan antara 2013 dan 2017, pelajar tahun enam telah menunjukkan satu pencapaian yang dramatik, iaitu 40 peratus telah melepasi standard CEFR.

``Begitu juga di peringkat tingkatan tiga, tingkatan lima dan tingkatan enam, ada peningkatan jika dibandingkan dengan 2016,’’ ujarnya.

Salah satu yang menarik, tambah beliau ialah perbandingan 2013 dan 2017 yang menunjukkan jurang penguasaan bandar dan luar bandar, iaitu pada 2013 ada jurang yang ketara, tetapi pada 2017, kajian mendapati tiada jurang yang ketara.

``Ini satu peningkatan cukup menarik,’’ katanya.

Secara keseluruhannya, kata beliau program intervensi, atau usaha-usaha lain untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris telah menunjukkan kesan yang ketara.

``Hal ini cukup meyakinkan bahawa kita telah berada di landasan yang betul sejak kita bentuk hala tuju pada 2013 sehingga 2017,’’ ujar beliau.

Dalam pada masa yang sama , pihak Universiti Cambridge telah mengemukakan beberapa cadangan yang akan diambil kira untuk menambah baik program penguasaan Bahasa Inggeris.

Diminta mengulas lebih lanjut tentang pengcilan jurang bandar dan luar bandar, Dr. Amin berkata: ``Memang kalau secara terperinci antara sebuah sekolah dengan sekolah masih nampak jurang, tetapi secara keseluruhan tida ada jurang lagi.

``Begitu juga dengan guru, guru 2013 kompetensi Bahasa Inggeris guru di luar bandar agak rendah berbanding di bandar.

``Tetapi senario sudah berubah… komptenesi mereka seimbang.’’

Kajian itu menunjukkan, berbanding 2013, 50 peratus guru berada pada tahap C1 iaitu memberangsangkan, sebab tahap tertinggi ialah C2,’’ kata Dr. Amin.

Dengan usaha-usaha yang dibuat sekarang, beliau yakin KPM boleh meningkatkan kompetensi guru, dan akan meletakkan C1 sebagai the piawaian minimum untuk guru.

``Sebab itulah, guru-guru yang masuk ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) pun, mereka mesti telah mencapai C1. Itu sebagai syarat kita,’’ katanya.

Gred pengukuran standard CEFR ialah A sehingga C, dengan C1 berada di kedudukan tertinggi pemarkahan.

Ditanya apa cadangan badan berkenaan untuk penambahbaikan , Dr. Amin berkata, penggunaan banyak bahan digital akan mempercepat proses penambahbaikan.

Katanya, dapatan kajian ialah guru sangat kurang menggunakan bahan digital, dan usaha ke arah itu sedang giat dilakukan sekarang.

``Ini selari dengan pengumuman bajet baru-baru ini supaya guru di bilik darjah berintegrasi lebih banyak dengan alat bantu mengajar berteknologi tinggi sejajar pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) abad-21,’’ kata Dr. Amin.

Kajian itu melibatkan amalan penilaian semasa dengan menganalisis peperiksaan semasa, ujian spesifikasi, skim pemarkahan dan keputusan peperiksaan akhir persekolahan, penghujung sekolah rendah (tahun 6), sekolah menengah rendah (tingkatan 3), tingkatan 5 dan 6.

Rubrik pentaksiran mencakupi latihan guru, pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran dan kokuriukulum. 

Dr. Amin juga memberitahu, pihak Universiti Cambridge sangat teruja membuat kajian itu di Malaysia kerana KPM telah membuka perspektif yang cukup luas terhadap skop kajian itu, berbanding negara lain yang hanya berfokus kepada satu atau dua aspek sahaja. - UTUSAN ONLINE