Menurut kenyataan tentera rejim zionis, tenteranya membedil sasaran ketenteraan Hamas di seluruh Semenanjung Gaza sebagai tindak balas selepas tembakan dilepaskan ke arah anggotanya semasa bantahan berkenaan.

Difahamkan seorang anggota tentera Israel mati ditembak penduduk Palestin yang menyertai bantahan berkenaan.

Hamas telah mengeluarkan senarai nama pejuang mereka yang terbunuh dalam kejadian itu iaitu Shaban Abu Khatar, Mohammed Abu Farhana dan Mahmoud Qushta.

Mahmoud terbunuh di Rafah manakala se­orang lagi mangsa di­kenali sebagai Moha­mmed Badwan mati di­tembak tentera Israel semasa bantahan di sempadan tersebut.

Tentera Israel memberitahu pesawat dan kereta kebal mereka me­nyasarkan lapan kubu tentera Hamas.

Sementara itu, pe­mimpin Hamas dan Israel bersetuju me­ngadakan gencatan sen­jata hari ini ekoran ke­tegangan tersebut.

Jurucakap Hamas, Faw­zi Barhoum dalam ke­­nyataannya membe­ritahu, persetujuan di­capai de­ngan bantuan Pertubu­han Ba­ngsa-Ba­ngsa Ber­satu (PBB) dan Mesir untuk mengembalikan keamanan.

Ini merupakan persetujuan gencatan sen­­jata kedua antara ke­dua-dua pihak dalam tempoh seminggu dan dipersetujui ekoran kebimbangan tercetusnya perang baharu.

Israel telah membedil berpuluh-puluh kawasan kumpulan pejuang di Semenanjung Gaza pada Sabtu minggu lalu menyebabkan dua remaja Palestin terkorban.

Pada hari sama sebanyak 200 roket dan mortar dilancarkan ke Israel dari Gaza dan empat anggota tentera rejim zionis ce­dera selepas salah sebuah roket mengenai sebuah rumah berhampiran ban­dar Sderot, Israel. – AFP