Pertubuhan Tahanan Palestin (PPS) dalam kenyataannya kelmarin yang dipetik PressTV berkata, mereka merekodkan sebanyak 67 kes kanak-kanak ditahan sepanjang Februari lalu.

Jelas badan itu, sebanyak 182 kanak-kanak ketika ini ditahan di Penjara Ofer berhampiran bandar Ramallah, Tebing Barat dengan tiga tahanan dikenakan tahanan pentadbiran yang menyaksikan penduduk Palestin di penjara tanpa sebarang perbicaraan.

Wakil tahanan kanak-kanak itu, Loai Mansi berkata, tentera Israel menyerang dan memukul kanak-kanak Palestin semasa dalam tahanan.

Tambahnya, cerita seorang kanak-kanak berusia 13 tahun yang tidak dapat digari kerana tangannya terlalu kecil merupakan bukti kukuh yang dia terlalu muda untuk dipenjarakan.

Ketika ini, lebih 7,000 penduduk Palestin dilapor dipenjarakan di penjara-penjara Israel.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, 16 penduduk Palestin cedera selepas mereka bertempur dengan tentera Israel di Genting Gaza, ketika membantah langkah Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Jurucakap bagi Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, Ashraf al-Qudrah yang dipetik agensi berita Jordan (Petra) berkata, penunjuk perasaan ditembak de­ngan peluru hidup dengan mangsa yang cedera kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Kerajaan Jordan menganggap keputusan AS mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya di bandar itu sebagai pencabulan resolusi antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).– BERNAMA/AGENSI