Kegagalan Israel hadir mengundang kritikan banyak pihak, termasuk secara halus daripada Amerika Syarikat (AS), yang menganggap proses mengkaji semula hak asasi oleh PBB merupakan 'mekanisme bernilai' dan patut diguna pakai oleh semua negara.

Forum itu dijangka menilai Israel di bawah Penilaian Berpenggal Sejagat (UPR), mengenai hak asasi manusia bagi semua negara anggota PBB.

Penilaian terakhir yang pernah disertai Israel dijalankan pada Disember 2008.

Israel bertindak menggantung hubungan dengan badan itu sejak Mei lalu kerana mendakwa menerima layanan berat sebelah.

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor berkata, Israel mengumumkan pihaknya "menggantung penyertaan bagi tempoh yang tidak pasti dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan polisi itu tidak berubah."

Para diplomat yang menghadiri forum itu, semalam berharap Israel mengubah pendiriannya pada saat akhir, agar mereka dapat meluahkan ketidakpuasan hati yang dialami.

Di Baitulmaqdis, Israel hari ini berkata, pihaknya menyalurkan sebanyak AS$100 juta (RM310 juta) tarif dan cukai terkumpul yang dibekukan sebelum ini untuk Pihak Berkuasa Palestin, sejak tahun lalu sebagai hukuman selepas Palestin diterima menjadi negara pemerhati yang diiktiraf anggota PBB.

Namun, pegawai Israel berkata, tindakan itu hanya dilakukan sekali bagi membantu krisis kewangan yang dihadapi Palestin dan bukan petunjuk bahawa usaha itu akan berterusan.

"Tindakan ini diputuskan oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berikutan situasi yang dialami Pihak Berkuasa Palestin sangat sukar.

"Namun penyaluran wang tersebut adalah bersifat sementara dan hanya melibatkan dana yang dipinjam untuk satu bulan," kata seorang pegawai yang enggan dikenali. - REUTERS/AFP