Al-Jazeera melaporkan, rang undang-undang itu yang diluluskan semalam juga akan digunakan dalam kes status penduduk yang diperoleh berdasarkan maklumat palsu dan mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah.

Seorang daripada ahli Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hanan Ashrawi menyifatkan un­dang-undang tersebut sebagai berat sebelah yang melampau.

“Membatalkan atau menyekat hak penduduk Palestin di Baitulmuqaddis iaitu bandar mereka sendiri adalah sangat tidak ber­etika. Kerajaan Israel bersikap menentang undang-undang antarabangsa dan mencabul undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

Rakyat Palestin yang tinggal dan lahir di wilayah ini tidak memegang status warganegara Israel mahupun Palestin kerana mereka hanya diberi kad pengenalan bertaraf penduduk tetap serta pasport sementara Jordan bagi tujuan perjalanan.

Keadaan itu secara tidak langsung menjadikan penduduk Pa­lestin di Baitulmuqaddis tidak mempunyai taraf warganegara.

Rang undang-undang tersebut dilihat akan memburukkan lagi keadaan itu dan memberi kesan terhadap kira-kira 420,000 penduduk Palestin yang tinggal di Baitulmuqaddis Timur yang ketika ini dilayan seperti pendatang asing.

Selain itu, penduduk Palestin yang tinggal di luar Baitulmuqaddis atau negara lain dalam tempoh tertentu juga berisiko hilang hak menetap di wilayah ini.

Sejak 1976, Israel telah membatalkan status penempatan kira-kira 14,000 penduduk Palestin.