ElBaradei berkata, tindakan Israel itu sebaliknya hanya akan mendorong republik Islam tersebut untuk membina senjata nuklear.

Apabila diminta mengulas sama ada serangan Israel pasti dilancarkan, bekas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) itu berkata, "Saya rasa tidak. Saya rasa sesiapa pun yang akan menyerang Iran adalah sangat gila.''

Beliau berkata, Israel sebelum ini pernah melancarkan serangan ke atas lokasi yang disyaki sebagai kemudahan nuklear di Iraq dan Syria.

"Jika ia mengambil tindakan sama ke atas Iran, Teheran pasti akan meningkatkan pembangunan senjata nuklear dengan sokongan setiap rakyatnya serta semua pihak di Asia Barat, malah penduduk dunia,'' katanya.

Ketegangan antara negara-negara Barat dan Iran berhubung program nuklearnya semakin meningkat beberapa bulan lalu, memarakkan spekulasi Israel akan melancarkan serangan ketenteraan. - DPA