Serangan yang dilakukan pada skala dua kali ganda lebih dahsyat berbanding pada 2017 sebagai ba­lasan terhadap dakwaan tentera Syria menggunakan senjata kimia ke atas rakyatnya di Douma minggu lalu, tidak mengubah apa-apa.

Kerajaan Syria di bawah pimpinan Bashar al-Assad terus berkuasa tetapi sebaliknya rak­yat negara berkenaan terus menderita dengan percaturan oleh kuasa dunia untuk melebar dan mengekalkan pengaruh mereka di rantau ber­kenaan.

Biarpun AS mendabik dada kononnya serangan yang dilakukan bersama dua sekutunya itu melalui serangan laut dan udara berjaya, realitinya ternyata jauh sekali dan mereka juga me­nyedari tentang hakikat ‘Syria adalah milik Rusia’.

Jika benar, kenyataan Rusia bahawa kebanyakan peluru berpandu yang dilancarkan berjaya dipatahkan hanya melalui penggunaan sistem pertahanan yang lapuk, sebenarnya tiada apa yang boleh dibanggakan oleh ne­gara-negara Barat itu.

Tindakan Amerika dan sekutunya mengundang banyak tanda tanya, apatah lagi ia dilakukan ketika Rusia mendakwa insiden serangan kimia didalangi oleh Britain. Syria sendiri pula bersedia untuk membenarkan siasatan dilakukan.

Mungkinkah serangan yang dilakukan secara ‘tergesa-gesa’ menjadi sebahagian daripada usaha Presiden AS, Donald Trump untuk mengalih pandangan rak­yatnya daripada masalah yang dihadapi dalam pentadbirannya.

Kenapa tidak, Trump dilihat kurang senang dengan kes peguamnya, Micheal Cohen disiasat oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan juga pendedahan yang dilakukan oleh bekas Pe­ngarah FBI, James Comey tentang tabiat ‘buruk’ pemimpin itu yang menjejaskan kredibilitinya sebagai presiden.

Selain negara kuasa besar dunia itu, Britain juga menyaksikan pemimpinnya mempunyai masalahnya tersendiri dengan pelbagai isu domestik termasuk serangan agen saraf ke atas bekas perisik Rusia yang berpaling tadah di United Kingdom.

Barangkali, serangan ber­kenaan merupakan cara terbaik untuk Perdana Menteri Britain, Theresa May untuk membalas dendam selepas tiada tindakan antarabangsa dikenakan untuk ‘memalukan’ Rusia yang didakwa menjadi dalang dalam kejadian berkenaan.

Mungkin juga Perancis pula sekadar menjadi teman ‘tumpang sekaki’ yang baik kepada kedua-dua negara sahabat itu setelah Presidennya, Emmanuel Macron sebelum ini turut berjanji untuk bertindak balas.

Berdasarkan apa yang tersirat, tiada pihak yang lebih untung kecuali Israel. Ternyata AS dan dua sekutunya terus berjaya menunaikan hajat negara Yahudi itu yang bimbang dengan keakraban Syria dengan Iran.

Rusia menyedari keghairahan Israel untuk campur tangan dalam konflik di Syria sehingga menyebabkan Presiden Vladimir Putin mengingatkan negara Yahudi itu supaya tidak memburukkan lagi keadaan sedia ada.

Melihat kepada kenyataan Menteri Pertahanan Israel, Avig­dor Lieberman, Israel sanggup untuk berbuat apa sahaja untuk mengelak pengaruh Iran yang menjadi musuh utamanya berleluasa sehingga menjadi ancaman lebih besar.

Bukanlah luar biasa, jika Israel sanggup mengambil risiko menyerang kedudukan Iran di Syria seperti mana yang berlaku minggu lalu di pangkalan udara T4 yang menyaksikan tujuh tentera Iran terbunuh.

Melihat kepada ke­sungguhan Israel, apakah tidak mungkin negara Yahudi itu menjadi dalang di sebalik serangan kimia yang berlaku.