Irma yang dikategorikan sebagai taufan Atlantik paling kuat dalam abad ini diramal melanda Florida pada awal pagi esok de­ngan jangkaan berlaku kemusnahan teruk akibat angin kencang dan banjir.

Sehubungan ini, lebuh-lebuh raya utama di Floria kini me­ngalami kesesakan, bekalan pe­trol semakin berkurangan dan cabaran getir dihadapi untuk memindahkan golongan warga emas ke pusat-pusat jagaan.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat (AS) menjangkakan Irma yang telah berubah kepada taufan kategori empat boleh kembali menjadi semakin kuat dan membadai Florida dengan kekuatan kategori lima dengan angin kencang selaju 258 kilometer sejam.

Gabenor Florida, Rick Scott memberitahu media tempatan bahawa Irma boleh menyebabkan kemusnahan yang besar kerana Florida tidak pernah dilanda taufan sebegitu kuat.

“Masa semakin suntuk dan jika anda berada dalam zon pemindahan, anda harus pergi segera,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap pihak berkuasa AS, Brock Long menyatakan Irma akan memusnahkan Florida dan negeri-ne­geri berhampiran termasuk menyebabkan bekalan elektrik dan air terputus selama beberapa hari.

“Irma akan terus menjadi ancaman yang boleh memusnahkan Florida dan negeri-negeri di bahagian tenggara AS, semua pihak di negeri berkaitan perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya.

Selain Carribbean dan Cuba, taufan Irma sebelum ini turut menyebabkan banjir dan berlaku kemusnahan di beberapa buah kawasan kepulauan lain terma­suk Turks dan Caicos, Republic Dominic dan Haiti.

Taufan Irma yang membadai Cuba dengan angin kencang selaju 260 km sejam telah menyebabkan kemusnahan yang hampir serupa dengan Caribbean.

Siaran televisyen tempatan menunjukkan banyak pokok tumbang, keadaan laut yang bergelora dan hujan di wilayah Ciego de Avila yang terletak di bahagian tengah utara Cuba. REUTERS