AYATOLLAH ALI KHAMENEI

Menurut Ali: “Bank-bank Ero­pah harus melindungi perdagangan yang dilakukan dengan kami.

“Kami tidak mahu memulakan perbalahan dengan tiga negara ini (Perancis, Jerman dan Britain) tetapi kami juga tidak mempercayai mereka,’’ katanya menerusi laman sesawang miliknya,” kata beliau.

Ali berkata, negara-negara kuasa besar Eropah perlu melin­dungi penjualan minyak Iran da­ripada rancangan sekatan semula Amerika Syarikat (AS) yang keluar daripada perjanjian nuklear itu dan terus membeli minyak mentah negara berkenaan.

Beliau berkata, ketiga-tiga negara itu juga mesti berikrar tidak akan cuba mengadakan rundingan tentang program senjata nuklear balistik Iran dan aktivitinya di rantau tersebut.

Kedua-dua syarat tersebut tidak tersenarai dalam perjanjian nuklear itu tetapi dituntut oleh Washington.

Pemimpin Iran itu berkata, sejak dua tahun lalu AS ‘berulangkali mencabul’ perjanjian nuklear berkenaan tetapi negara-negara Eropah terus berdiam diri.

Beliau menggesa Eropah supaya bersuara dan menentang sekatan AS itu.

Ali juga memberi amaran jika EU tidak memenuhi tuntutan itu, Iran akan meneruskan melakukan kegiatan memperkayakan uranium yang dihentikan di bawah perjanjian antarabangsa bertujuan menyekat pembangunan senjata nuklear Iran.

Dalam kenyataan umum pertamanya sejak Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo menuntut Iran melakukan perubahan dasar, Ali berkata Iran tidak boleh bekerjasama dengan negara yang melanggar perjanjian antarabangsa, menarik balik daripadanya dan menunjukkan keangkuhannya tentang penarikan diri itu di televisyen,’’ kata­nya.

Sementara itu, Eropah dan AS masih tidak bersependapat tentang cara untuk meneruskan perjanjian berkenaan selepas Was­hington menarik diri daripada perjanjian nuklear yang ditandatangani pada 2015. – REUTERS