Timbalan Menteri Pertahanan, Reza Mozaffari-Nia berkata, tentera Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) akan menerima antara 700 sehingga 800 buah kereta kebal buatan tempatan termasuk Karrar (Striker).

Jelasnya, Iran mengeluarkan antara 50 sehingga 60 kereta kebal setiap tahun seperti yang dikehendaki oleh pihak tentera dan IRGC.

Iran telah mendedahkan Karrar, kereta kebal amfibia buatan tempatan yang paling canggih pada Mac tahun lalu, lapor portal Presstv.

Menteri Pertahanan ketika itu, Brigadier Jeneral Hossein Dehqan berkata, Karrar merupakan antara kereta kebal termaju di dunia berdasarkan ciri-ciri ke­terampilannya.

Menurut beliau, kuasa tembakan, ketepatan dan mobiliti kenderaan itu tidak boleh ditandingi oleh mana-mana kereta kebal paling canggih seumpamanya di dunia.

“Karrar mempunyai sistem kawalan tembakan elektro-optikal, keupayaan mengukur jarak bantuan laser dan menyerang kenderaan lain atau menetapkan sasaran pada waktu malam atau siang,” katanya.

Sejak dahulu lagi Iran telah mencipta kejayaan dalam sektor pertahanan dan mengeluarkan perkakasan serta peralatan ketenteraan yang penting.

Iran menegaskan, kekuatan ketenteraan negara ini tidak mengancam mana-mana negara dan hanya berdasarkan doktrin pencegahan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Iran, Brigadier Jeneral Amir Hatami berkata, negara ini akan ‘bertindak balas dengan menghancurkan’ sebarang tindakan keganasan terhadap Iran.

“Pasukan tentera yang mempunyai peralatan termaju dan moden telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghancurkan sebarang tindakan keganasan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan musuh-musuh Islam untuk menghormati kedaulatan dan maruah serta keazaman rakyat ini.