Ketiga-tiga negara itu juga menegaskan bahawa me­reka memahami kebimbangan AS terhadap program peluru berpandu yang dijalankan Iran dan bersedia untuk bekerjasama dengan Washington ber­hubung perkara tersebut.

Eropah dan Rusia juga memberikan jaminan mereka akan mempertahan persetujuan yang dicapai dalam perjanjian nuklear sebelum ini biarpun Presiden AS, Donald Trump mahu membatalkannya.

Di Brussels, Ketua Polisi Luar EU, Federica Mogherini berkata, Washington tidak boleh bertindak sendiri untuk membatalkan perjanjian tersebut.

“Perjanjian tersebut bukan satu persetujuan dua hala. EU akan kekal dengan perjanjian tersebut dan akan meneruskannya seperti yang dipersetujui,” kata beliau.

Trump sebelum ini menyatakan beliau tidak akan mengesahkan perjanjian itu yang di­meterai Iran dengan enam negara kuasa dunia termasuk AS dan Kesatuan Eropah meskipun kumpulan pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan Iran mematuhi semua terma perjanjiannya.

Presiden AS telah menyerahkan isu pengesahan itu kepada Kongres yang mempunyai masa selama 60 hari untuk memutuskan sama ada untuk mengembalikan sekatan AS atau sebaliknya.

Trump mengugut se­kiranya jalan penyelesaian tidak dapat dibuat dengan Kongres dan sekutu, perjanjian tersebut akan dibatalkan.

Dalam pada itu, Pre­siden Iran, Hassan Rouhani menyatakan negara itu akan terus komited dengan perjanjian tersebut selagi ia mampu menjaga kepentingan Iran.

Perjanjian yang menjalani proses rundingan ketika era pentadbiran Barack Obama itu berfungsi untuk mengurangkan sekatan terhadap Teheran dan sebagai pertukaran, negara itu perlu mengehadkan program nuklear­nya.– REUTERS