Kematian dua anggota polis Yahudi dijadikan Israel sebagai lesen bagi mereka berlagak seperti ‘samseng’, bukan sahaja menutup malah memasang peralatan dan sekatan keselamatan iaitu pintu pengesan logam dan kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Jelas, langkah itu dibuat bagi menghalang kemasukan umat Islam ke Masjid Al-Aqsa sekali gus satu pencabulan yang dibuat secara terang-terangan terhadap kesucian Al-Aqsa selain merampas hak umat Islam untuk ber­ibadah serta kedaulatan Palestin, perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa yang dikongsi oleh umat Islam, Kristian dan Yahudi sepatutnya bebas tanpa sebarang sekatan kepada penganutnya untuk beribadah mengikut kepercayaan masing-masing dan dijamin oleh undang-undang antarabangsa.

Tindakan itu sekali gus mencetuskan ketegangan baharu di tanah suci ketiga bagi umat Islam itu sehingga membangkitkan intifada baharu bagi penduduk Palestin yang membantah pemasangan kawalan keselamatan di Masjid Al-Aqsa.

Umat Islam Palestin sejak itu memboikot langkah keselamatan tambahan yang dikenakan oleh Israel dengan hanya menunaikan solat di luar pintu masuk Masjid Al-Aqsa selepas beranggapan langkah terbabit merupakan usa­ha licik rejim Zionis untuk me­ngawal sepenuhnya kawasan yang dikenali sebagai Ha­ram Al-Sharif selain menunjukkan kekuasaan rejim.

Malah, bantahan demi bantahan tercetus di seluruh Baitulmaqdis dan Tebing Barat sejak penutupan Masjid Al-Aqsa dan kemuncak bantahan itu menyaksikan tiga penduduk Israel dan lima lagi di pihak Palestin terbunuh sehingga mencetuskan kebimbangan antarabangsa bahawa konflik terbabit akan berpanjangan.

Penduduk Palestin beranggapan, untuk bersetuju kepada langkah itu bermakna mereka setuju kepada penguasaan Israel sepenuhnya ke atas Haram Al-Sharif serta penduduk Palestin dan jelas perkara itu perlu ditolak.

Seorang penganalisis politik Palestin, Khalil Shaheen berkata, kamera itu mampu mengesan identiti dan wajah penduduk sekali gus bermakna Israel sedang menguatkuasakan kawalan penuh ke atas kawasan Haram Al-Sharif.

“Peranan Jordan sebagai penjaga masjid itu sama sekali dike­tepikan dan kehadiran pengawal Palestin menjadi terbatal kerana mereka yang berkuasa di Al-Aqsa sebenarnya adalah pihak yang mengawal kamera terbabit,” katanya.

Jelas, pemasangan CCTV ini hanya menindas penduduk Pa­lestin di Baitulmaqdis apatah lagi kebanyakan mereka enggan membayar cukai kepada Israel dan kebanyakan penduduk dari Tebing Barat yang memasuki Baitulmaqdis pada Jumaat adalah tanpa permit yang menjadi ke­salahan di bawah undang-undang Israel.

Bagi Israel, mengetahui penduduk-penduduk yang melanggar peraturan mereka adalah sa­ngat berbahaya dan sudah tentu akan membahayakan nyawa penduduk Palestin.

Oleh yang demikian, bagi me­ningkatkan tekanan ke atas Israel, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengumumkan langkah memutuskan semua hubungan dengan Israel sehingga rejim Zionis membatalkan semua tindakan terhadap rakyat Palestin.

Pergolakan terbaharu itu turut mengundang kebimba­ngan masyarakat antarabangsa de­ngan Amerika Syarikat (AS) menghantar penasihat kanan Presiden Donald Trump bagi meredakan konflik itu manakala Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang juga Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut campur tangan dengan menggesa langkah keselamatan itu dihentikan segera.

Erdogan turut mendakwa Israel sebenarnya cuba mengu­asai Masjid Al-Aqsa daripada umat Islam dan menggesa Israel mengembalikan status quo sebelum sekatan terbaharu itu dilaksanakan.

Selepas seminggu ketegangan berlangsung, Israel dilihat mula tunduk kepada desakan membuang alat pengesan logam di pintu masuk Masjid Al-Aqsa namun mereka tetap mengekalkan lebih banyak CCTV di sekitar pekarangan Al-Aqsa.

Namun bagi penduduk Palestin, pemasangan CCTV itu perlu ditolak kerana langkah itu sebenarnya merupakan ancaman lebih besar kepada mereka sekali gus satu lagi pencabulan undang-undang antarabangsa.

Malah menerusi tinjauan portal Al-Jazeera, penduduk Palestin akan terus mengekalkan bantahan dan memboikot selama mana Israel mengenakan sekatan dan pertempuran akan terus berlaku.

Akhirnya kebangkitan rakyat Palestin sejak lebih dua minggu selepas penutupan Al-Aqsa membuahkan hasil apabila polis Israel mengeluarkan ke­semua peralatan dan sekatan ke­se­lamatan yang dipasang.

Serentak itu, Pengarah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar Kiswani memberi kelulusan kepada penduduk Palestin untuk memasuki kawasan masjid.

Kemenangan itu memberi tamparan hebat kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang dikecam anggota Parlimen Israel kerana menarik balik langkah keselamatan berkenaan.

Kejayaan intifada tidak akan tercapai tanpa pendirian yang tekad dan perpaduan dalam kalangan penduduk Palestin selain doa masyarakat Islam.

Pada masa sama, negara-negara Islam tidak perlu berlembut dengan Israel yang jelas merosakkan imej Islam di Baitulmaqdis dan tidak telus dalam menangani konflik membabitkan Al-Aqsa.