Duta Palestin ke United Kingdom (UK), Manuel Hassassian mem­beri amaran, bukan sahaja orang ramai akan membanjiri jalan raya di Pa­lestin tetapi di semua ibu negara seluruh dunia Arab.

“Keadaan sekarang sangat ber­bahaya,’’ katanya yang dilaporkan portal Arab News.

Beliau menyifatkan keputusan Trump telah ‘mencabul konvensyen antarabangsa’ dan memijak hak penduduk Palestin serta meletakkan Israel pada risiko ter­tinggi diserang.

Katanya, tindakan Trump itu akan mengakibatkan keadaan men­jadi sukar dikawal.

Beliau turut memberi amaran isu Baitulmaqdis itu kini menjurus kepada konflik agama dan 1.5 bilion umat Islam tidak akan menerima monopoli Yahudi terhadap bandar suci itu.

Tunjuk perasaan tercetus bukan sahaja di Pa­lestin malah di beberapa negara seperti Turki, Leba­non dan Jordan.

Di Palestin, pemimpin-pemimpinnya mengisytiharkan ‘hari kemarahan’ se­lama tiga hari malah sebelum Trump mengumumkan pengisytiharan itu, penduduk Pa­lestin telah berarak di jalan raya membantah tindakan pe­mimpin AS itu.

Wartawan Al Jazeera, Bernard Smith yang mela­porkan dari Gaza berkata, penduduk Palestin me­nya­takan bantahan tersebut me­rupakan ‘bola api kecil’ yang akan menjadi lebih besar dalam waktu terdekat ini.

Pemimpin pergerakan Hamas, Ismail Haniya menegaskan keputusan Trump telah menyemarak­kan keganasan.

“Keputusan itu merupakan per­taruhan tindak balas tanpa mengenal had daripada pendu­duk Palestin, Arab dan umat Islam,’’ katanya.

Di Turki, beribu-ribu penunjuk perasaan termasuk kumpulan hak asasi manusia seperti Pertubuhan Belia Anatolian (AGO) dan Yayasan Belia Turki (TUGVA) membanjiri jalan raya di Ankara membantah keputusan Trump.

Selain di bandar tersebut, bantahan turut diadakan di hadapan Kedutaan AS di Istanbul dan di lebih 10 bandar di Turki terma­suk Diyarbakir, Karabuk, Konya dan Sirnak.

Bantahan yang sama juga diadakan di beberapa bandar di Jordan termasuk perarakan dari kem Al-Buqaa di utara Amman dan bandar Maan di selatan Jordan.

Di Lebanon pula, beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di kem pelarian Palestin di Bourj el-Barajneh bagi membantah tindakan Trump.

Dalam pada itu, Jordan dan Palestin telah memohon diadakan mesyuarat tergempar Menteri-Menteri Luar Arab berhubung isu Baitulmaqdis dan dijangka akan diadakan pada Sabtu ini.

Pada masa yang sama, Pre­siden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggesa diadakan sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul pada 13 Disember ini.

Dalam pada itu, OIC menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, mereka berasa kesal dengan tindakan Trump dan menolak sekeras-kerasnya keputusan tersebut kerana melanggar politik serta undang-undang antarabangsa dan status sejarah Baitulmaqdis.

Tambah OIC, tindakan terbabit secara jelas melanggar resolusi antarabangsa dan menjejaskan peranan AS sebagai penaja proses perdamaian.

Sementara itu, AS telah meminta Israel agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang pengiktirafan AS terhadap Baitulmaqdis kerana bimbang an­caman terhadap kemudahan dan rakyat AS.

“Saya sedar anda (Israel) secara terbuka mengalu-alukan be­rita ini tetapi saya meminta anda mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan ras­mi,’’ lapor sebuah dokumen yang bertarikh 6 Disember untuk para diplomat di kedutaan AS di Tel Aviv agar diserahkan kepada pegawai-pegawai Israel. – AGENSI