Berdasarkan tinjauan terha­dap 1,479 responden berusia an­tara 14 hingga 24 tahun terhadap lima laman sosial yang popular, Instagram memberi kesan negatif pa­ling tinggi terhadap peng­­guna.

Kajian yang dilakukan The Ro­yal Society for Public Health (RSPH) United Kingdom (UK) meminta responden memilih sama ada YouTube, Instagram, Snapchat, Facebook dan Twitter memberi kesan terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Berdasarkan penilaian tersebut, YouTube dipilih sebagai laman sosial terbaik dalam memberi kesan positif terhadap kesihatan mental diikuti Twitter dan Facebook.

Namun Snapchat dan Instagram memperoleh penilaian pa­ling rendah, lapor portal BBC.

Kajian secara dalam talian itu menyenaraikan soalan-soalan yang meliputi kebimbangan, tekanan, kesunyian, buli dan imej diri pengguna.

Ketua Eksekutif RSPH, Shirley Cramer berkata, berdasarkan pe­­ni­laian itu Snapchat dan Instagram disifatkan terlalu memfokuskan tentang imej pengguna dan me­nimbulkan rasa kekurangan serta kebimbangan terhadap mereka.

Oleh yang demikian, RSPH memberi amaran iaitu media sosial merupakan salah satu faktor yang mewujudkan krisis kesihatan mental kepada golongan muda.

Berikutan hasil tinjauan itu, pakar-pakar kesihatan umum menggesa pengendali laman sosial untuk mewujudkan pemantauan dan pemeriksaan bagi membantu membendung masalah kesihatan.

Antaranya mewujudkan pop-ups untuk memberi amaran kepada pengguna yang mereka telah menggunakan laman sosial dalam tempoh yang panjang.