BBC News memetik polis Sweden sebagai berkata, suspek pertama ditahan pada hari yang sama di Marsta, kira-kira 40 kilometer ke utara Stockholm atas dakwaan terlibat dengan aktiviti keganasan iaitu pembunuhan.

Penahanan itu dibuat selepas polis menyiarkan rakaman kame­ra litar tertutup (CCTV) yang me­nunjukkan gambar suspek yang memakai baju berselubung.

Sementara itu, suspek kedua pula dilaporkan ditahan tidak lama selepas itu di Hjulsta, barat laut Stockholm.

Menurut polis Sweden, siasatan mendapati suspek pertama mungkin pemandu trak yang dipercayai telah dicuri berhampiran sebuah restoran di situ sebelum kejadian.

Media Sweden pula melaporkan, lelaki yang tidak dinamakan itu berusia 39 tahun dan berasal dari Uzbekistan.

Dalam kejadian tengah hari semalam waktu tempatan itu, ber­belas-belas orang dilaporkan turut cedera dengan sembilan daripada mereka termasuk seorang kanak-kanak masih dirawat di hospital.

Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven kemudian menyifatkan tragedi rempuhan itu sebagai serangan pengganas.

Ekoran tragedi itu juga, pusat bandar Stockholm terpaksa ditutup buat sementara waktu manakala beberapa pengangkutan awam termasuk bas dan tren menghentikan operasi masing-masing.

Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Dimitris memberitahu akhbar tempatan, Aftonbladet, trak itu muncul secara tiba-tiba dan merempuh orang ramai.

“Saya tidak sempat melihat pemandunya kerana saya berlari meninggalkan tempat kejadian secepat mungkin untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, stesen televisyen Sweden, SVT yang memetik satu sumber daripada pihak berkuasa sebagai berkata, polis telah me­nemukan sejumlah bahan letupan dalam trak berkenaan. – AFP/REUTERS/AGENSI