www.channelnewsasia.com melaporkan, jurucakap polis, Rikwanto memberitahu, sin­diket itu mengendalikan ope­rasinya di luar negara bagi me­ngelakkan pihak berkuasa China mengesan ke­giatan mereka.

“Siasatan mendapati, kegiatan haram telah mengaut RM1.9 bilion (AS$450 juta) sejak mula beroperasi akhir tahun lalu,” katanya.

Penahanan itu katanya selepas mendapat maklumat daripada pihak berkuasa China.

“Polis Indonesia menjalankan siasatan terperinci dan kini melakukan penyelarasan dengan polis China untuk menghantar mereka pulang ke negara asal,” ujarnya.

Menyentuh mengenai modus operandi sindiket yang berpusat di beberapa buah lokasi di seluruh Indonesia itu katanya, mereka akan berpura-pura menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai polis atau pengamal undang-undang.

“Mereka kemudian akan memujuk mangsa kononnya mereka boleh membantu menyelesaikan kes undang-undang dan sebagai balasan mangsa perlu memindahkan wang dengan segera,” katanya.

Kumpulan penjenayah ini turut dianggotai oleh pakar IT yang berkebolehan mengambil maklumat peribadi mangsa.

Penahanan terhadap mereka dilakukan di Jakarta, Kota Surabaya dan Bali, dalam beberapa serbuan pada minggu lalu.

Sementara itu jurucakap po­lis Indonesia, Argo Yuwono pu­la berkata, pihaknya sedang menyiasat bagaimana suspek-suspek yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah itu memasuki Indonesia.