Sabtu lalu, Gatot dilarang daripada menaiki pesawat penerbangan Emirates ke AS, di mana beliau dijemput menghadiri persidangan oleh ketua pegawai kakitangan bersama AS, Jeneral Joseph F. Dunford Jr.

“Kami masih menunggu penjelasan mengapa perkara ini boleh berlaku.

“Kami telah menggesa mereka untuk memberi penjelasan segera. Para pegawai AS juga cuba bekerjasama dengan pihak berkuasa terbabit bagi mengetahui apa sebenarnya terjadi,” kata Menteri Luar Indonesia, Retno Masurdi kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Duta AS di Jakarta hari ini.

Semalam, jurucakap tentera, Wuryanto berkata Emirates memberitahu Gatot bahawa agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan AS tidak membenarkannya memasuki wilayah negara tersebut.

Ekoran kejadian berkenaan, sesetengah rakyat Indonesia bertindak memasang sepanduk di sekitar ibu negara dan mendesak duta AS serta warga AS diusir.

Sementara itu, bekas Duta Indonesia ke AS, Dino Patti Djalal menyeru supaya kerajaan Indonesia bertindak tegas berhubungan isu terbabit.

“Kerajaan tidak perlu meminta penjelasa tetapi sepatutnya menyampaikan bantahan kepada AS,” ujarnya di laman Twitter.

Menurut Retno, segala isu telah diselesaikan dan Gatot dibenarkan untuk memasuki AS namun tidak diketahui sama ada beliau sempat menghadiri persidangan berkenaan atau tidak. - REUTERS