Portal berita Tribune News memetik kenyataan jurucakap BNBP, Su­topo Purwo Nughoro berkata, kawasan kebakaran yang terlalu luas menyulitkan kerjasama pihak berkuasa untuk memadamkan kebakaran selain bekalan air yang terhad.

“Jika pada tahun 2012 dan 2013 kebakaran hutan hanya berlaku di Riau, tahun ini kebakaran turut merebak di Sumatera Selatan dan Kalimantan Tengah.

“Bekalan air yang terhad menyukarkan pesawat pengebom air untuk beroperasi secara maksimum bagi memadamkan kebakaran,” kata Sutopo sambil menambah pihaknya sudah bersedia mengatasi masalah tersebut.

Menurut laporan akhbar Kompas, setakat hari ini kebakaran di Riau melibatkan kawasan seluas 2,025 hektar, Kalimantan Barat (900 hektar), Kalimantan Tengah (655 hektar), Jawa Tengah (247 hektar), Jawa Barat (231 hektar), Kalimantan Selatan (185 hektar), Sumatera Uta­ra (146 hektar), Sumatera Selatan (101 hektar), dan Jambi (92 hektar).

Selain itu, jumlah titik panas yang dikesan di Sumatera mencapai 944 lokasi dan 222 lokasi di Kalimantan.

Dalam perkembangan lain, Ga­benor Sumatera Selatan, Alex Noerdin mengarahkan persiapan untuk memindahkan penduduk wilayah itu jika keadaan jerebu semakin buruk.

Menurut Alex, langkah itu diambil susulan kebimbangan penduduk terhadap ancaman penyakit pernafasan akibat kualiti udara yang tidak sihat dan berbahaya.

Jelas beliau, klinik kesihatan dan hospital diarahkan beroperasi 24 jam sehari bagi mengelakkan penduduk panik dan berpindah secara tergesa-gesa ke luar Kota Palembang.

“Proses pemindahan hanya melibatkan penduduk tertentu termasuk penghuni yang tidak memiliki kemudahan penghawa dingin di rumah mereka.

“Kami juga akan menyediakan pusat pemindahan sementara yang dilengkapi penghawa dingin sebagai lokasi penempatan penduduk yang dipindahkan,” katanya seperti dilaporkan portal Viva.co.id.