Peguam Negara, M. Prasetyo berkata, hukuman tersebut sebagai tambahan kepada peruntukan sedia ada dipersetujui dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Presiden Joko Widodo di Istana Presiden, di sini semalam.

Prasetyo yang dipetik media tempatan berkata, Kanun Undang-Undang Hukum Pidana memperuntukkan hukuman kasi bagi kesalahan rogol dan hukuman mati bagi kes pembunuhan yang dirancang, khususnya yang membabitkan jenayah seksual.

Selain kasi dan hukuman mati, Peraturan Pemerintah Pengganti Undang-Undang yang akan dikeluarkan itu juga akan memperuntukkan hukuman 20 tahun penjara bagi kesalahan jenayah tersebut.

Dalam mesyuarat khas itu, Joko Widodo atau Jokowi bersetuju mengeluarkan Peraturan Pemerintah Pengganti Undang-Undang.

Ini bagi membolehkan peraturan tersebut dijadikan satu undang-undang baharu bagi mencegah jenayah seks khususnya terhadap kanak-kanak.

Ketika ini, peruntukan hukuman ke atas penjenayah seks terhadap kanak-kanak ialah penjara selama 10 tahun.

Jokowi menegaskan bahawa jenayah seks merupakan suatu jenayah luar biasa dan memerlukan kaedah luar biasa untuk menanganinya.

Langkah tegas kerajaan melaksanakan hukuman tambahan ini berikutan peningkatan kes jenayah seksual, khususnya membabitkan kanak-kanak.

Salah satu kes yang mendapat perhatian umum ialah yang membabitkan seorang pelajar perem­puan berusia 14 tahun, dari sebuah sekolah menengah di Rejang Le­bong, Bengkulu yang dirogol dan dibunuh oleh sekumpulan 14 orang remaja lelaki yang mabuk.

Kejadian itu berlaku ketika pelajar itu dalam perjalanan pulang dari sekolah pada bulan lalu dengan mayatnya ditemukan lima hari selepas kejadian.

Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yasonna Laoly berkata, kerajaan sedang menyusun Peraturan Pemerintah Pengganti Undang-Undang sebelum menyerahkannya kepada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk dibahaskan dalam sidang akan datang. – UTUSAN