Pegawai Operasi Penerbangan Aviastar Airlines, Ferdinand Lumintaintang berkata, pasukan mencari dan menyelamat kini menggunakan isyarat yang dikeluarkan dari telefon bimbit juruterbang dan penumpang malam semalam untuk menjejak lokasi sebenar mereka.

Detik.com memetik kenyataan Pengerusi Aviastar Airlines, Sugeng Triyono sebagai berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah digerakkan ke lokasi isyarat bagi menjalankan kerja-kerja mencari pesawat dan penumpang.

“Usaha mencari kini memberi tumpuan kepada di mana lokasi isyarat berkenaan dikeluarkan.

“Operasi pencarian tidak hanya dijalankan di kawasan darat, tetapi akan melibatkan kawasan udara dengan menggunakan pesawat khas,” jelasnya.

Bagaimanapun, Sugeng tidak mendedahkan lokasi sebenar is­yarat berkenaan yang berkemungkinan besar berada di kawasan berbukit.

Pesawat ringan Twin Otter DHC-6 terputus hubungan dengan pihak berkuasa lapangan terbang kira-kira 30 minit sebelum mendarat di bandar Makassar, Sulawesi.

Penerbangan tersebut membawa tujuh orang penumpang yang terdiri daripada empat orang dewasa dan tiga kanak-kanak, selain tiga anak ka­pal termasuk seorang juruterbang. – DPA/REUTERS/AGENSI