Jurucakap Kementerian Alam Sekitar, Kemal Amas berkata, sebanyak tiga syarikat telah ditutup sepenuhnya selepas lesen operasi dibatalkan kerana me­nyebabkan kebakaran hutan sehingga mengakibatkan Indonesia mengalami kerugian sehingga AS$16 bilion (RM68.6 bilion).

Ini merupakan kali pertama kerajaan Indonesia membatalkan le­sen syarikat yang terlibat dalam ke­bakaran hutan, bencana alam tahunan yang sengaja dilakukan untuk tujuan tanaman semula.

Jelas Kemal, kerajaan turut membekukan operasi 14 buah syarikat yang telah diberi amaran dan berkemungkinan boleh ditutup sekiranya tidak mematuhi permintaan kerajaan berhubung langkah pencegahan kebakaran.

Tambahnya, beberapa syarikat turut diberikan amaran keras dan diletakkan di bawah pengawasan ketat.

“Kami menghukum sebanyak 23 buah syarikat secara keseluruhan bermula daripada sekatan pentadbiran sehingga pembatalan lesen, manakala 33 syarikat lagi masih dalam proses pemeriksaan yang juga memungkinkan lesen operasi ditarik balik lesen jika didapati bersalah.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 276 buah syarikat telah disiasat sejak kebakaran tercetus pada September lalu,” ujarnya kepada AFP.

Kemal berkata, penguatkuasaan undang-undang yang tegas perlu dilaksanakan supaya jerebu tidak kembali berulang, sama seperti 18 tahun sebelum ini.

Jelas beliau, kementeriannya turut bekerja keras untuk memulihkan hutan dan tanah ladang yang musnah dalam kebakaran itu.

Sementara itu, aktivis alam sekitar Indonesia menyambut baik komitmen baharu kerajaan dengan menghukum syarikat yang didapati bersalah.

Jurucakap Forum Alam Sekitar Indonesia, Kurniawan berkata, ini adalah pertama kali kerajaan membatalkan lesen syarikat yang terlibat dalam kebakaran hutan ketika kebanyakan syarikat yang terlibat sebelum ini terlepas daripada tindakan undang-undang. – AFP