BBC melaporkan, keba­nyakan sungai dan terusan di negara ini dipenuhi de­ngan sampah sarap seperti botol, beg serta bungkusan plastik.

Pihak berkuasa Indonesia menyifatkan keadaan itu seperti ‘berperang de­ngan musuh paling besar’.

Di Bandung yang merupakan bandar ketiga terbesar di Indonesia menyaksikan terlalu banyak sampah sarap dibuang ke dalam su­ngai sehingga kelihatan se­perti iceberg dan menyekat aliran air sungai utama.

Anggota tentera ditempatkan di bandar tersebut bagi membantu member­sihkan sungai yang tercemar menggunakan jaring bagi memerangkap sam­pah sarap.

Ketua Agensi Perlindu­ngan Alam Sekitar Jawa Barat, Dr. Anang Sudarna berkata, masalah tersebut adalah mustahil untuk di­selesaikan jika tanpa bantuan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada Pre­­siden Indonesia, Joko Wi­do­do supaya mengguna­kan khidmat pasukan ten­tera untuk membersihkan sungai yang tercemar.

“Hasilnya menunjukkan sedikit kemajuan, namun saya berasa marah, sedih dan cuba memikirkan penyelesaian terbaik kepada masalah yang berlaku. Perkara yang paling sukar ketika ini adalah sikap masyarakat dan kehendak politik,” katanya.

Bagi Sarjan Sugito yang bertanggungjawab menga­rahkan unit tenteranya untuk membersihkan su­ngai menyifatkan tugasan tersebut sebagai luar biasa dan tidak mudah seperti yang dijangkakan.

“Musuh utama kami ketika ini bukan musuh perang sebaliknya kami berdepan dengan sampah sarap yang merupakan mu­suh terbesar Indonesia,” ujarnya.

Sementara itu, keraja­an Indonesia berusaha me­­­ngajak masyarakat di negara ini supaya menghargai plastik yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan menerusi program kitar semula.

Sebagai contoh, pihak ber­kuasa tempatan di Ban­dung menggalakkan pen­duduknya mengumpul barangan plastik lama yang boleh ditukar dengan duit.