Malah, pelbagai pertubuhan dan individu bukan sahaja tampil mengecam tindakan pengecut yang dilakukan oleh pengganas terhadap nyawa yang tidak berdosa, tetapi turut menyatakan pendirian tegas bahawa mereka tidak takut terhadap ancaman tersebut dan akan menentang habis-habisan pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Semua akhbar utama di Jakarta mengutuk serangan tersebut dan meminta kerajaan dan orang ramai bersatu hati menentang keganasan serta tidak memberi ruang kepada sebarang bentuk fahaman dan aktiviti keganasan di negara ini.

Selain memaparkan berita dan gambar kejadian yang meragut tujuh nyawa, akhbar-akhbar turut menyiarkan komentar muka depan mengenai pendirian negara yang tidak akan menyerah kalah dalam memerangi keganasan.

Akhbar berpengaruh, Kompas menulis tajuk utamanya Bangkit Bersama Lawan Terorisme, mengajak masyarakat supaya tidak gentar dengan ancaman keganasan, sebaliknya bersama-sama menentang­nya dalam apa bentuk sekali pun.­

Akhbar itu memetik Ketua Umum Nahdatul Ulama, pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Said Aqil Siroj berkata, serangan itu tidak sesuai dengan ajaran mana-mana agama sekalipun. Katanya, tindakan ganas yang dilakukan oleh sesiapapun atas nama apa sekalipun adalah tindakan terkutuk.

Ketua Persekutuan Wali Ge­reja Indonesia, Ignatius Suharyo dan Ketua Umum Persekutuan Gereja-Gereja Indonesia Henriette TH Lebang juga meminta masyarakat bekerjasama melawan gerakan pengganas.

Menurut akhbar itu lagi, serangan pengganas berlaku secara tiba-tiba dan tidak memilih sasaran.

Akhbar Republika pula dengan tajuk muka depan Kami Tidak Takut! menyiarkan kenyataan Pre­siden Indonesia, Joko Widodo dan Naib Presiden, Jusuf Kalla bahawa negara dan rakyat tidak boleh kalah kepada ancaman pengganas.

Laporan media turut meminta orang ramai supaya tidak takut de­ngan ancaman semalam kerana jika suasana itu wujud, bererti kumpulan pengganas berjaya mencapai hasrat mereka untuk menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat.

“Keganasan adalah kejahatan serius. Tujuannya bukan sekadar membunuh korban, tetapi mencipta rasa takut. Jika kita kalah dan takut, pengganas berjaya mencapai tujuannya,’’ kata lidah pengarang Republika.

Orang ramai, walaupun terkejut dengan kejadian yang tidak diduga itu, tidak memikirkan sangat perkara itu.

Buktinya, sebaik sahaja pihak berkuasa menyatakan kes itu selesai, mereka mula memasuki kawasan berkenaan dan meneruskan aktiviti masing-masing, seperti tidak terjadi apa-apa sebelum itu.

Selain akhbar, media sosial turut mengajak orang ramai supaya tidak takut dengan tindakan pengganas, sebaliknya bersama-sama menentang sebarang bentuk keganasan.