Berita tentang kematian Emma Morano disampaikan oleh penjaga wanita itu kepada Dr. Carlo Bava selepas warga emas terbabit ‘tidak sedarkan diri’ ketika duduk di ‘kerusi malas’ di rumahnya dekat Verbania, sebuah bandar di Lake Maggiore, Itali.

Menurut Bava, Morano yang juga pesakitnya sempat mengucap terima kasih ketika mereka bertemu kelmarin.

“Walaupun wanita itu lebih banyak menghabiskan masa de­ngan tidur dan kurang bercakap sejak beberapa minggu lalu, dia masih menjamah biskut yang menjadi diet harian. Jarak rumah saya dan wanita itu tidak jauh dan saya telah berkhidmat menjaga­nya sejak 25 tahun lalu,” katanya.

Morano yang dilahirkan pada 29 November 1899 tinggal di sebuah pangsapuri satu bilik dan dijaga oleh seorang pengasuh dan dua saudara perempuan.

“Dia pergi dalam keadaan yang tenang dan tidak menderita,” kata Bava.

Selepas kematian Morano, seorang wanita Jamaica, Violet Brown yang lahir di Kepulauan Caribbean pada 10 Mac 1900 kini dianggap sebagai orang paling tua di dunia berdasarkan senarai oleh Kumpulan Penyelidikan Gerontologi.

Malah, Perdana Menteri Jamaica, Andrew Holness turut me­nyampaikan ucapan tahniah kepada wanita itu menerusi akaun Twitter miliknya. – AP