Polis berkata, ia percaya lelaki-lelaki itu yang dikenali sebagai Abdul Lateef dan Riyaz Ali menerima arahan dari Pakistan.

Sebelum ini, kerajaan India mengatakan, kumpulan militan berpengkalan di Pakistan bertanggungjawab melakukan serangan pada November 2008 di Mumbai yang mengorbankan 166 orang.

"Kita percaya kedua-dua lelaki ini mendapatkan arahan daripada negara lain bagi menyerang tiga atau empat sasaran di Mumbai.

"Mereka kini disoal siasat," kata Inspektor skuad anti-keganasan Mumbai, Vinesh Agarwal.

Keselamatan di Mumbai diperketatkan sejak kejadian pengeboman di Pune bulan lalu yang mengakibatkan 16 orang terkorban, yang mana ia adalah serangan besar-besaran pertama dilancarkan militan selepas serangan di Mumbai pada 2008.

Mumbai adalah tuan rumah beberapa perlawanan kriket bagi Liga Utama India (IPL) yang menampilkan pemain India dan antarabangsa. - Reuters