Seorang pegawai polis yang enggan dikenali berkata, tindakan itu diambil kerana suspek keenam kes yang menimbulkan kemarahan penduduk India itu, didapati masih di bawah umur 18 tahun.

"Polis telah mengadakan ujian tulang ke atas suspek keenam bagi mengesahkan umurnya,'' katanya yang tidak mempunyai kebenaran untuk bercakap dengan wartawan.

Di bawah undang-undang India, individu berusia kurang 18 tahun tidak boleh didakwa membunuh.

Jurucakap polis New Delhi, Rajan Bhagat hari ini berkata, dokumen pendakwaan kes itu akan difailkan di mahkamah pada Khamis ini.

Pelajar perubatan berumur 23 tahun itu meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura minggu lepas akibat kegagalan fungsi organ dan kecederaan otak.

Kes itu bukan sahaja mencetuskan demonstrasi di seluruh India, malah tindakan polis dalam menangani kes jenayah seksual turut dipersoalkan.

Penunjuk perasaan dan ahli politik turut menggesa Parlimen menggubal undang-undang baharu untuk memperketat hukuman ke atas perogol dan mempercepatkan perbicaraan kes rogol dalam tempoh 90 hari. - AGENSI