Beliau berkata, pemotongan perbelanjaan kerajaan perlu dilakukan dalam usaha mengawal defisit fiskal selain mempelawa berjuta-juta rakyat negara ini yang berada di luar negara untuk turut melabur di Pakistan bagi membantu mengurangkan rizab asing.

“Dalam sejarah Pakistan kita tidak pernah berada dalam krisis ekonomi yang besar seperti mana sekarang.’’

“Negara menanggung hutang dan tiada wang, tiada wang untuk dibelanjakan kepada anak-anak, rakyat yang miskin dan petani malah kita tidak mampu memberi air bersih kepada rakyat negara ini, tetapi kita juga masin mempunyai cara lain,’’ katanya yang dilaporkan portal Al-Jazeera.

Beliau juga berjanji akan mentadbir negara ini sebagai ‘negara kebajikan Islam’ seperti yang dilakukan Nabi Muhammad kepada Madinah pada abad ke-7.

Imran yang merupakan bekas pemain kriket kebangsaan berjanji akan melelong lebih 80 ken­deraan yang disimpan oleh Pejabat Perdana Menteri dan hanya akan mengekalkan dua buah kenderaan untuk kegunaan rasmi.

Selain itu Imran berkata, beliau akan memecat majoriti 524 kakitangan yang bertugas di kediaman rasmi Perdana Menteri dan berjanji menunjukkan contoh kesederhanaan kepada semua pe­mimpin kerajaan dan kakita­ngan.

“Jika kita mahu menyelamatkan diri daripada musnah maka kita perlu ubah cara berfikir, kita harus ubah sikap ...dan yang pa­ling penting kita perlu mempunyai rasa belas kasihan,’’ katanya.

Dalam ucapan selama sejam, Imran turut menyentuh tentang keperluan mengekalkan perdamaian dengan negara-negara jiran Pakistan, cabaran perubahan cuaca dan keperluan perubahan perkhidmatan awam.

Bekas pemain kriket itu turut menggariskan pembaharuannya sektor pendidikan dan kesihatan negara.

Imran turut meminta negara ini mencontohi sistem kebajikan sosial dan percukaian yang dilaksanakan oleh negara-negara Scandinavia.

Beliau turut menentang usaha mendapatkan pinjaman luar negara, seperti yang pernah dilakukan negara itu.

“Mana-mana negara yang mahu berkembang perlu berdikari. Kita tidak mahu selama-lama­nya meminjam kerana ia menyebabkan kita akan kehilangan kebebasan dan maruah,’’ katanya.

Imran mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-22 Pakis­tan pada Sabtu lalu dalam satu majlis sederhana di sini dan kemudian mengumumkan seramai 20 anggota kabinet yang terdiri daripada 15 menteri dan lima penasihat.