Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) dalam laporan tahunannya hari ini menyatakan, import senjata oleh Indonesia, Singapura dan Malaysia melonjak masing-masing sebanyak 84 peratus, 146 peratus dan 722 peratus antara tahun 2005 dan 2009, berbanding lima tahun lalu.

"Gelombang terkini pemerolehan senjata di negara-negara Asia Tenggara boleh mengakibatkan ketidakstabilan di rantau itu serta membahayakan keamanan untuk tempoh berpuluh-puluh tahun," kata pakar SIPRI di Asia, Siemon Wezeman dalam laporan tersebut.

Singapura, Indonesia dan Malaysia bulan ini meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan di Selat Melaka yang juga laluan perkapalan paling penting, selepas tentera laut Singapura memaklumkan pihaknya ada menerima satu isyarat bahawa sekumpulan pengganas merancang untuk menyerang kapal tangki minyak di perairan berkenaan.

Kumpulan pemikir itu memberitahu, peningkatan aktiviti pembelian pesawat tempur jarak jauh dan kapal-kapal perang oleh tiga negara tersebut telah mempengaruhi rancangan pemerolehan senjata tiga negara berjiran itu.

Tahun lalu, Vietnam muncul negara terbaru di Asia Tenggara yang menempah pesawat tempur jarak jauh serta kapal selam.

Singapura merupakan negara pertama ASEAN yang tersenarai dalam 10 pengimport utama senjata api SIPRI sejak tamatnya Perang Vietnam.

Institut Sweden yang mengendalikan penyelidikan bebas berhubung keselamatan antarabangsa, persenjataan dan pelucutan menyatakan pemindahan senjata global turut meningkat sebanyak 22 peratus dalam tempoh lima tahun lepas.

- REUTERS

Rantau Asia dan Oceania muncul sebagai penerima terbesar pada kadar 41 peratus secara keseluruhan, diikuti Eropah dengan 24 peratus dan Asia Barat dengan 17 peratus.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pengeksport kelengkapan ketenteraan terbesar di dunia, menyumbang sebanyak 30 peratus kepada penjualan senjata sepanjang tempoh sama.

Hampir 40 peratus penghantaran senjata AS dibuat ke Asia, Oceania dan Asia Barat.