Channel News Asia memetik laporan kajian Institut Penyeli­di­kan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), dalam tempoh 2013 sehingga 2017, import senjata di Asia Barat meningkat dua kali ganda kepada 103 peratus berbanding lima tahun lalu.

Asia Barat melibatkan 32 peratus daripada semua import senjata di seluruh dunia.

Menurut SIPRI, Arab Saudi yang melancarkan perang terhadap pemberontak Syi­ah Houthi yang disokong oleh musuh serantaunya iaitu Iran, adalah pengimport senjata kedua terbesar dunia selepas India.

Sementara itu, Arab Saudi mengimport 61 peratus senjata dari Amerika Syarikat (AS) dan Britain mengimport 23 peratus senjata dari negara yang sama.

Jumaat lalu, syarikat pengeluar peralatan tentera, BAE Systems mengumukan, Britain menanda­ta­ngani pesanan awal bernilai berbilion-bilion pound dari Arab Saudi bagi 48 buah jet tempur Eurofighter Typhoon.

Perjanjian itu mencetuskan perdebatan dan bantahan di United Kingdom di mana pertubuhan bu­kan kerajaan (NGO), Save the Children meletakkan satu patung kanak-kanak berhampiran bangunan Par­­­limen bagi menarik perhatian terhadap keganasan yang disema­rak­kan oleh bom buatan British.

Penyelidik kanan SIPRI, Pieter Wezeman ber­kata, konflik yang meluas di Asia Barat dan keprihatinan tentang hak asasi manusia telah membawa kepada perdebatan po­li­tik di Eropah Barat dan Amerika Utara berkaitan sekatan penjualan senjata.

“AS dan negara Eropah kekal sebagai pengeksport utama senjata ke rantau ini dan membekalkan lebih daripada 98 peratus senjata yang diimport oleh Arab Saudi.” katanya.

Bagaimanapun, Asia dan Ocea­nia adalah rantau terbesar bagi import senjata dengan menyumbang 42 peratus daripada jumlah global antara 2013 dan 2017.

India adalah pengimport terbesar senjata di dunia dengan Rusia pembekal utamanya me­nyumbang 62 peratus daripada jumlah import.

Pada masa sama, penghantaran senjata ke India dari Amerika Syarikat yang merupakan pengeksport senjata utama dunia me­ningkat lebih daripada enam kali ganda dalam tempoh lima tahun.

Dalam pada itu, Beijing yang mengeksport senjata meningkat kepada 38 peratus dalam tempoh lima tahun, menjadi pembekal senjata utama untuk Myanmar iaitu 68 peratus senjata import.

Beijing juga menyumbang 71 peratus import senjata ke Bangladesh dan 70 peratus import senjata ke Pakistan.