Gambar tersebut didedahkan pertubuhan kemanusiaan Sea-Watch bagi memperlihatkan kepada Eropah tentang kepenti­ngan menyediakan laluan selamat untuk pelarian.

Mayat bayi dipercayai belum berusia setahun itu dijumpai terapung di Laut Mediterranean Jumaat lalu selepas bot kayu dinaikinya karam.

Sebanyak 45 mayat daripada bot sama turut ditemukan, sementara 135 lagi terselamat dan dibawa ke pelabuhan Reggio Calabria di Itali.

Mayat bayi berkenaan dijum­pai anggota penyelamat yang hanya mahu dikenali sebagai Martin.

Martin dalam satu e-mel berkata, dia menjumpai anak kecil tersebut terapung di laut, kaku seperti anak patung.

“Saya memegang lengan bayi itu dan memeluknya seolah-olah dia masih hidup.

“Saya turut mendodoikannya kerana tidak dapat menerima hakikat insan kecil itu tidak lagi bernyawa. Dia mungkin hidup enam jam sebelum itu,” katanya.

Jantina bayi itu tidak didedahkan. Tidak dapat dipastikan adakah ibu bapa bayi tersebut turut lemas atau terselamat.

Sea-Watch dalam satu ke­nyataan yang dikeluarkan bersama gambar itu menyeru Kesatuan Eropah mengelakkan kejadian sama daripada berulang dengan menyediakan laluan selamat untuk golongan pelarian.

“Tindakan Eropah itu bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa pelarian, malah boleh menghentikan kegiatan penyeludupan manusia,” jelas pertubuhan tersebut.

Sekurang-kurangnya 700 pela­rian lemas di laut minggu lalu ­sahaja dalam beberapa insiden ketika menyeberangi Laut Mediterranean dari Libya ke Itali. – REUTERS