Menyedari kepentingan tek­no­lo­gi imbasan tersebut, sekumpulan penyelidik di Universiti Buf­falo di sini melakukan kajian untuk me­ningkatkan penggunaan teknologi tersebut ke pe­ringkat le­bih tinggi iaitu imbasan jantung.

Menerusi sistem keselamatan komputer yang dibangunkan, pengguna boleh mengimbas jantung mereka untuk membuka kata kunci pada telefon pintar dan pemeriksaan di lapangan terbang.

Ketua penyelidik, Dr. Wenyou Xu berkata, sistem tersebut memerlukan masa selama lapan saat untuk mengimbas jantung pengguna buat kali pertama, termasuk saiz, bentuk dan denyutannya.

“Kami bercadang untuk menggunakan teknologi itu pada setiap komputer kerana semua orang memerlukan privasi.

“Tiada sesiapa di dunia ini mempunyai jantung yang sama, selain organ itu tidak berubah saiz melainkan seseorang itu menghidap penyakit kritikal se­perti sakit jantung,” katanya.

Teknologi itu secara tidak langsung menyaksikan kali pertama jantung digunakan untuk pengesahan identiti.

Sistem tersebut menggunakan radar Doppler peringkat rendah untuk mengukur jantung pengguna dan terus memastikan bahawa tiada pihak lain yang menggunakan komputer mereka.

Radar Doppler boleh menghasilkan data halaju objek dari jarak jauh dengan memantulkan isyarat gelombang mikro.

Xu seterusnya menjelaskan, kekuatan isyarat tersebut adalah lebih rendah berbanding isyarat WiFi dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna.