Menurut portal berita Ana­dolu, Sheikh Ikrima telah dibawa ke hospital Al Maqassid di barat Baitulmaqdis tetapi keadaannya masih belum diketahui.

Penyelaras Media Aman Pales­tin di Gaza, Hamza Deirawi berkata, serangan itu dilakukan tentera Israel bagi menghalang kemasukan mereka ke masjid suci itu untuk menunaikan solat.

Menurutnya, serangan itu berlaku 2.30 pagi waktu tematan (7.30 pagi Malaysia) ketika ribuan rakyat Palestin berkumpul di kawasan itu menyebabkan puluhan yang lain turut cedera termasuk kanak-kanak.

“Warga Palestin berkumpul di kawasan itu untuk mendesak Israel supaya membuka kembali masjid suci berkenaan kepada umat Islam.

“Berlaku provokasi antara kedua-dua pihak sebelum tentera zionis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah. Insiden ini berlaku di pintu Bab Al Asbatt iaitu pintu utama untuk masuk ke (Masjid) Al-Aqsa,” katanya.

Hamza turut mendedahkan, pihak berkuasa Israel melarang laungan azan selain mengarahkan semua warga Palestin supaya me­lalui pagar elektronik untuk ma­suk ke Masjid Al-Aqsa atas alasan faktor keselamatan.

Beberapa jam sebelum kejadian seorang lelaki, Rafaat al-Herbawi,30 terbunuh selepas ditembak tentera Israel ketika melakukan bantahan di luar masjid berkenaan.

Ketegangan tercetus selepas dua anggota keselamatan Israel mati dibunuh di kawasan ber­kenaan minggu lalu.

Kerajaan Israel telah bertindak menutup masjid itu pada Jumaat lalu sebelum membuka semula tetapi mengenakan langkah ke­selamatan baharu yang dibantah umat Islam. Bantahan turut dibuat dengan menunaikan solat Jumaat di perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Menteri Hal-Ehwal Agama Turki, Mehmet Gomez mengutuk tindakan kejam itu dalam Twitternya sambil mengaitkan kejadian itu dengan peristiwa berdarah di Masjid Al-Khalil di Hebron pada tahun 1994 yang mengorbankan 30 nyawa umat Islam.

Majlis Shoura Arab Saudi turut menyuarakan perkara sama dan menegaskan tindakan tersebut melanggar hak-hak umat ­Islam.