Beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang ingin ke Thailand untuk mematuhi peraturan baharu yang ditetapkan, serta menggunakan dokumen perjalanan yang sah.

Mohd. Afandi berkata, antara lain pelawat dikehendaki menghantar borang masuk kepada Jabatan Kastam Diraja Thailand, mengisytiharkan kenderaan dan penumpang mereka.

“Pemandu yang gagal mematuhi akan didenda sehingga empat atau lima kali nilai kenderaan, atau kenderaan ditahan dan berdepan hukuman penjara dua tahun,” kata Mohd Afandi kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah meminta pihak berkuasa Thailand untuk memberi maklumat terperinci tentang peraturan yang akan dimuat naik ke laman web Kementerian Luar.

Mengulas lanjut, Mohd Afandi berkata, perubahan kepada keperluan tersebut dilaksanakan untuk memudah dan memperkemaskan rekod daftar masuk orang asing ke Thailand.

Sepanjang tahun ini hingga Ogos, hanya dua kes dilaporkan melibatkan kenderaan Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand kerana melanggar peraturan masuk ke negara itu. - BERNAMA