Ikan betina berusia tiga tahun spesies Oranda merah itu yang biasa terdapat di Jepun dan China dianggap istimewa kerana mempunyai bonggol di kepalanya atau dikenali sebagai ‘wen’.

Ini menjadikan Rocky sebagai ikan emas paling ganjil dan paling diminati dalam kalangan peminat ikan emas.

Walaupun bonggol di kepalanya dilihat sebagai keistimewaan tersendiri Rocky, namun ia boleh mendatang­kan masalah penglihatan kepadanya kerana bonggol itu akan membesar dan menutup matanya.

Pemilik Rocky, Andy Green yang juga pemilik kedai Star Fisheries di Sutton di sini yang mengimport dan menjual ikan emas berkata, Rocky merupakan ikan paling besar di United Kingdom (UK) dan sangat berat.

“Berbanding ikan emas biasa, Rocky nampak seperti raksasa malah yang terbesar daripada spesiesnya yang pernah diimport ke UK,” ujarnya yang dipetik oleh portal Daily Mail.

Menurut Green, ikan itu dinamakan Rocky kerana mempunyai kekuatan luar biasa berbanding ikan lain.

“Rocky berasal dari China dan saya memerlukan masa enam bulan untuk meyakinkan penternaknya untuk menjual ikan ini kepada saya,” katanya.

Kata lelaki itu, dia hanya akan menjual ikan tersebut dengan harga tidak kurang 4,500 pound.

Kata Green, ada pihak yang menyifatkan ikan itu hodoh terutama yang mempunyai bonggol di kepala tetapi ramai yang meminati ikan emas kerana mempunyai tabiat dan pembawaan berbeza yang menjadikannya lebih menarik.