Saintis menghabiskan masa sebulan tahun lalu di atas sebuah kapal di kawasan berhampiran pesisir pantai di timur negara ini bagi meninjau hidupan yang tinggal 4.8 kilometer dari permukaan air menggunakan jaring, sonar dan kamera laut dalam.

Lebih 42,000 ikan dan haiwan tanpa tulang belakang ditangkap, antaranya dipercayai merupakan spesies baharu ma­nakala para saintis berkumpul di ibu negeri Tasmania, Hobart minggu ini untuk memeriksa tangkapan mereka secara teliti.

Tangkapan itu termasuk ‘ikan blob’ yang merupakan sepupu kepada Mr Blobby yang dipilih sebagai haiwan paling hodoh di dunia pada 2013 oleh Persatuan Pemuliharaan Haiwan Hodoh sehingga popular di media sosial.

Blobby daripada keluarga psychrolutidae ditemukan di luar pantai New Zealand pada 2003 sebelum dinamakan sempena nama saintis yang mene­mukan ikan tersebut.

Antara spesies lain yang ditemukan semasa ekspedisi pelayaran tahun lalu termasuk jerung yang boleh mengeluarkan cahaya dan ikan cicak.

Saintis sebelum ini mendedahkan mereka mene­mukan ikan tanpa wajah yang pernah sekali direkodkan oleh kru kapal HMS Challenger di perairan Papua New Guinea pada 1873.

Menurut pakar kajian ikan dari Muzium Victoria Martin Gomon, perhimpunan saintis di Hobart merupakan usaha sistematik pertama diadakan bagi mengkaji hidupan di zon air laut dalam sekitar kawasan pesisir pantai Australia.

“Penemuan ini memberikan kita gambaran tentang bagaimana fauna marin ini sesuai dengan persekitaran laut dalam yang saling berkait di seluruh dunia dan bagi saintis, ia menambah teka-teki tentang apa yang mempengaruhi evolusi di laut dalam,” katanya. – AFP