Kakitangan perubatan terutama doktor bedah melakukan pembedahan sehingga 12 jam sehari manakala kelengkapan perubatan terpaksa ditambah dua kali ganda daripada keperluan biasa.

Doktor di Idlib menyaksikan berpuluh-puluh mangsa menga­lami luka yang dijangkiti kuman dan mulai mereput akibat kece­deraan yang dialami akibat serpihan peluru atau bom.

Menurut Ketua Syria Relief, Mounir Hakimi yang juga doktor bedah, ramai mangsa yang cedera terpaksa dipotong anggota badan mereka.

“Akibat serangan berterusan di Aleppo, serpihan bom atau peluru tertanam pada tulang belakang mangsa terutama kanak-kanak menyebabkan mereka lumpuh dan kami menyaksikan kanak-kanak menjadi buta sebelah mata akibat serpihan itu,’’ katanya.

Orang awam pula katanya mula mengalami simptom trau­ma psikologi.

“Seorang bapa yang mempu­nyai anak lelaki berusia tiga tahun tertanya-tanya mengapa anaknya masih belum boleh bertutur. Anaknya lahir semasa pertempuran meletus namun sehingga hari ini masih tidak mampu berkata-kata kerana mengalami kejutan daripada serangan itu,’’ katanya.

Infrastruktur perubatan di Idlib telah pun mengalami kerosakan sebelum pemindahan penduduk Aleppo berikutan sera­ngan bom tong selama lima tahun dan serangan udara Rusia terhadap hospital, ibu pejabat pertahanan awam dan sekolah.