Dalam satu kenyataan semalam, pihak pendakwa raya berkata, siasatan akan dilaksanakan ‘secara bebas dan adil’ berkaitan jenayah perang yang berlaku bermula 13 Jun tahun lalu.

Tindakan itu membolehkan mahkamah menyelidiki perang antara Israel dan pejuang Hamas di Gaza pada Julai hingga Ogos tahun lalu yang menyaksikan lebih 2,100 penduduk Palestin dan 73 orang Israel terbunuh.

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) bagaimanapun tidak bersetuju dengan langkah ICC itu dengan alasan, Palestin bukannya sebuah negara, justeru tidak layak menyertai ICC.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengesahkan Palestin secara rasmi menganggotai tribunal berkenaan pada 1 April ini, satu langkah yang ditentang hebat AS dan Israel.

“Kes itu kini diserahkan kepada ICC. Perkara ini akan disiasat menggunakan undang-undang dan kami yakin dengan sistem mahkamah,’’ kata ketua delegasi Palestin di The Hague, Nabil Abuznaid.

Pendakwa raya akan mengakses bukti tentang dakwaan jenayah dan menentukan sekiranya mereka mempunyai asas untuk mengeluarkan waran terhadap mana-mana individu dari kedua-dua belah pihak.

Israel sementara itu berang de­ngan tindakan ICC apabila Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu melabelkan pemeriksaan itu sebagai ‘satu pencabulan’.

“Israel sama sekali menolak pengumuman pendakwa raya ICC tentang pembukaan kertas siasatan awal atas dasar permintaan keterlaluan oleh pihak berkuasa Palestin,’’ katanya.