Menurut kenyataan pejabat Presiden Thein Sein, semalam, penduduk Rohingya bersama beribu-ribu penduduk lain terutama etnik minoriti di kawasan sempadan yang diberi kad pengenalan sementara itu sebagai sebahagian proses untuk memohon kewarganegaraan, akan menyaksikan kad pe­ngenalan mereka akan ditamatkan pada akhir Mac ini.

“Mereka yang memegang kad pengenalan sementara perlu mengembalikan dokumen ber­kenaan selepas tamat tempoh,” kata kenyataan itu, satu langkah berkesan yang diambil bagi menarik balik hak mereka untuk me­ngundi pada pungutan suara berhubung rang undang-undang yang diluluskan Presiden, kelmarin.

Berpuluh-puluh penduduk mengadakan tunjuk perasaan di bandar Yangon, semalam menggesa kerajaan tidak membenarkan penduduk tanpa kerakyatan penuh turut mengundi pada pungutan suara yang dicadangkan.

Isu itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan dalam kalangan penganut Buddha di negeri bergolak Rakhine apabila kira-kira sete­ngah juta dijangka memiliki kad putih.

“Jika mereka diberikan hak untuk mengundi, jangan hormat bendera Myanmar lagi,” kata seorang penganut Buddha, Nyi Nyi Maung, yang menyertai tunjuk perasaan tersebut di Yangon,

Sementara itu, Pengarah Pejabat Presiden, Zaw Htay dalam satu ke­nyataan di laman sosial Facebook berkata, kad putih akan menjadi ‘haram’ yang menunjukkan bahawa hak mengundi itu secara automatik akan terbatal.

Pada 2012, keganasan tercetus antara penganut Buddha dan penduduk Islam di Rakhine me­ngorbankan lebih 200 orang dan 140,000 lagi terperangkap di kem pelarian.

Pemimpin pembangkang, San Suu Kyi dijangka memenangi pi­lihan raya yang akan diadakan pada Oktober atau November ini jika mereka diberi kebebasan dan ke­adilan, dengan Parlimen akan memilih Presiden baharu.

Pemenang Nobel itu mengadakan kempen untuk mengubah Perlembagaan yang mengetepikan satu perempat daripada kerusi Parlimen kepada tentera.          

Pada 2010, pemegang kad putih dibenarkan untuk mengundi, langkah yang dilihat sebagai memberi manfaat kepada pihak tentera. - AFP