Ibu berusia 46 tahun itu berkata, jiwanya tidak akan tenteram selagi kesemua suspek yang 'menyeksa' anaknya tidak digantung.

"Sewaktu sedang kritikal di hospital, dia masih mampu berbisik kepada saya supaya mereka (perogol) semua dibakar hidup-hidup," katanya kepada The Sunday Telegraph ketika dihubungi dari kediamannya di Medawara Kalan, Uttar Pradesh.

Menurut ibu itu lagi, anak perempuannya itu ibarat nyawanya.

Dalam kejadian pada 16 Disember lalu itu, mangsa yang merupakan pelajar perubatan dirogol dan dipukul oleh enam lelaki, selepas dia bersama rakan lelakinya menaiki sebuah bas.

Pelajar itu mengalami kecederaan teruk, manakala rakan lelakinya gagal menolongnya kerana cedera dan patah kaki akibat dipukul suspek.

Minggu lalu, Ketua Menteri Uttar Pradesh, Akhilesh Yadav telah menyerahkan wang sebanyak 26,000 pound (RM126,632) kepada keluarga tersebut sebagai ganti rugi atas kematian anak mereka.

Bagaimanapun, ibu itu berkata, dia tidak berminat dengan wang tersebut, tetapi ingin melihat kesemua suspek yang terlibat merogol anaknya dihukum mati.

"Saya hanya mahu satu perkara. Saya mahu melihat kesemua 'binatang' itu digantung," katanya. - AGENSI