Kaji selidik yang dilakukan di seluruh negara itu meminta pendapat ibu bapa kanak-kanak berusia antara 13 hingga 18 tahun tentang amalan bertatu.

Menurut keputusan kaji selidik tentang kesihatan kanak-kanak yang diterbitkan oleh Hospital Kanak-kanak C.S. Mott, sebanyak 75 peratus dalam kalangan ibu bapa berpendapat remaja mungkin dibenarkan memiliki tatu hanya pada usia 18 tahun ke atas.

Jumlah tersebut turut melibatkan 32 peratus ibu bapa yang mempunyai tatu pada tubuh mereka.

“Amat penting bagi ibu bapa mengetahui apa yang ibu bapa lain fikirkan. Masalah tentang tatu kini sudah menjadi topik perbualan di hampir kebanyakan isi rumah di seluruh AS,” kata Dr. Gary Freed, pakar kanak-kanak di University of Michigan yang mengetuai kajian tersebut.

Kajian itu turut mendapati sebanyak 38 peratus remaja berusia 18 hingga 29 tahun mempunyai sekurang-kurangnya satu tatu di anggota tubuh mereka dengan hanya satu daripada 10 orang ibu bapa berkata, tatu dibenarkan sebagai menandakan majlis khas.

Kebimbangan terbesar ibu bapa adalah tentang kesan kesihatan apabila 53 peratus me­ngakui mereka sangat prihatin terhadap jangkitan atau parut.

Sementara itu, 50 peratus lagi ibu bapa berkata, mereka sa­ngat prihatin terhadap penyakit se­perti hepatitis atau HIV yang boleh disebarkan kepada anak mereka melalui jarum yang tidak disteril dengan baik.

Separuh daripada ibu bapa turut gusar jika majikan mungkin menilai anak mereka dengan kelakuan yang tidak baik jika bertatu namun kebimbangan terbesar adalah remaja itu sendiri mungkin menyesal dengan keputusan untuk bertatu.

“Kebanyakan tatu tidak boleh dihilangkan sepenuhnya dan pasti akan terdapat sedikit kesan yang ditinggalkan. Lihat sahaja artis yang cuba menghilangkan­nya, pasti kita boleh melihat tatu itu walaupun hampir pudar.

“Terdapat juga beberapa masalah alahan pada pewarna. Ruam gatal boleh muncul selain mendapat jangkitan kulit,” kata pakar pediatrik dan dermatologi Northwestern University, Dr. Sarah Chamlin. – REUTERS