Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman me­ne­gaskan persida­ngan tersebut bukan sidang damai tetapi tribunal terhadap Israel selain menggesa penduduk Ya­hudi di Perancis berpindah ke wi­layah jajahannya di Palestin.

Pada masa yang sama Kementerian Luar Israel memaklumkan pihaknya akan ‘mengehadkan’ hubungan dengan negara-negara yang menyokong resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut Israel menghentikan pembinaan pe­nempatan Yahudi di wilayah Palestin.

Media Israel melaporkan, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah meminta pegawainya mengurangkan lawatan ke negara-negara berkenaan.

Kelmarin Israel memanggil duta negara-negara tersebut antaranya Amerika Syarikat (AS), China, Perancis, Rusia, Uni­ted Kingdom (UK), Angola, Mesir, Jepun, Sepanyol, Ukraine dan Uruguay.

Israel juga menangguhkan lawatan Perdana Menteri Ukraine, Volodymyr Groysman dan Menteri Luar Senegal ke wilayahnya.

Terdapat juga laporan yang menyebut Netanyahu memba­talkan pertemuan dengan Perdana Menteri Britain, Theresa May menjelang Forum Ekonomi Dunia bulan depan di Davos namun tiada pengesahan rasmi tentang perkara berke­naan.

Tindakan terbaharu Israel melepaskan kemarahannya kepada negara-negara yang menyokong resolusi berkenaan disifatkan Kementerian Luar Ukraine sebagai terlalu ‘emosi’.

Sementara itu Lieberman menyifatkan sidang damai itu sebagai ‘perbicaraan Dreyfus’ merujuk kes anggota tentera Perancis berketurunan Yahudi yang dikatakan silap didakwa pada 1894 dan kini menjadi simbol ketidakadilan dan anti-Semitism.

“Ini merupakan perbicaraan Dreyfus versi moden. Bezanya pada 15 Januari ini bukan hanya seorang Yahudi terlibat, malah keseluruhan penganut Yahudi dan Israel akan dibicarakan,’’ katanya.

Kelmarin, Lieberman menggesa penduduk Yahudi di Perancis berpindah ke Israel dengan menegaskan hanya itu sahaja jawapan yang sewajarnya diberi kepada persidangan berkenaan.

“Sudah tiba masanya mereka diberitahu bahawa Perancis bukan negara mereka, tinggalkan negara itu dan datanglah ke Israel,’’ katanya sambil merujuk kejadian serangan yang menyasarkan penduduk Yahudi di Perancis.

Sidang damai itu merupakan susulan daripada resolusi UNSC yang menuntut Israel menghentikan pembinaan penempatan Yahudi di wilayah Palestin. – 
AFP/REUTERS