Sebelum ini, mereka tidak dapat diterbangkan ke Rusia untuk menyaksikan perlawanan akhir itu atas undangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana faktor kesihatan.

Jurucakap Hospital Chiang Rai Prachanukroh memaklumkan, pasukan bola sepak tersebut memerlukan rehat mencukupi dan akan dibenarkan menonton aksi perlawanan melalui rakaman yang disediakan pihak hospital.

“Kami mahu mereka berehat dan tidak terdedah kepada skrin televisyen terlalu lama. Kami akan merakam (aksi perlawanan akhir) dan menyiarkannya kepada mereka kemudian,” katanya.

Perlawanan akhir Piala Dunia menyaksikan pertembungan antara Perancis dan Crotia di Moscow.

Pasukan bola sepak Wild Boars yang terdiri daripada 12 pemain remaja dan jurulatih terperangkap lebih dua minggu di dalam gua aki­bat banjir di wilayah Chiang Rai.

Kesemuanya dilaporkan pulih sejak diselamatkan tiga hari lalu dan akan dibenarkan keluar hospital pada Khamis ini.

Dalam kejadian itu, kesemua remaja berusia 11 hingga 16 tahun dan jurulatih berusia 25 tahun itu merancang untuk meneroka gua Tham Luang kira-kira sejam selepas latihan bola sepak pada 23 Jun lalu.

Dua penyelam Britain mene­mukan mereka pada 2 Julai lalu.

Minggu lalu, kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester Uni­ted mengundang mereka untuk me­nyaksikan perlawanan pasukan itu di Old Trafford nanti. – REUTERS