Diadakan bagi memperingati peristiwa penghinaan terhadap Islam dua tahun lalu, peserta yang kebanyakannya berpa­kaian putih serta membawa bendera dengan kalimah tauhid berhimpun bagi membawa mesej jelas iaitu perpaduan ummah.

Reuni 212 juga memberikan satu peringatan tegas, jangan diulangi peristiwa penghinaan tersebut.

Hal demikian kerana, Islam adalah agama kesejahteraan dan keamanan bukan hanya kepada penganutnya malah untuk semua, selain tidak pernah menganjurkan sebarang bentuk keganasan mahupun penindasan.

Namun jika ada berlakunya keganasan dan penindasan, itu bukannya disebabkan Islam tetapi atas individu atau kumpulan berkenaan yang tidak mengikuti ajarannya.

Ketua Umum Persaudaraan Alumni 212, Slamet Maarif me­ngaku bahawa jumlah peserta perhimpunan itu adalah seba­nyak lapan juta orang namun polis menganggarkan sekitar 40,000 orang sahaja.

Bagaimanapun, perkara itu bukan persoalan utama sebaliknya mesej kesatuan dan keamanan yang ditunjukkan oleh umat Islam.

Reuni 212 berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan yang berlaku malah sekitarnya kelihatan seperti lautan putih daripada pakaian putih peserta.

Peserta perhimpunan ada yang berkumpul seawal pukul 3 pagi bagi menunaikan solat hajat dan berakhir sekitar te­ngah hari.

Perhimpunan itu dibuat kumpulan Islam di Indonesia bagi menunjukkan kesatuan ummah yang mana sebelum ini agama Islam telah dihina.

Pada 2 Disember 2016, Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok ketika itu mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam berikutan penghinaan Islam ketika kempen pilihan raya Gabenor.

Ahok mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam apabila menuduh musuh-musuhnya menggunakan ayat suci al-Quran untuk menipu rakyat supaya tidak mengun­dinya dalam pilihan raya kerana dia bukan beragama Islam.

Ketegangan politik dan agama timbul ketika itu hingga menyebabkan Ahok sebagai pe­mimpin Cina Kristian pertama memegang jawatan itu gagal dalam pemilihan se­mula dan kemudiannya dihukum penjara dua tahun.