Lantaran itu, pelbagai pihak mula membuat andaian berhu­bung kemunculan WannaCry termasuk mengaitkan Korea Uta­ra sebagai dalang penyebaran ‘virus jahat’ itu.

Secara ringkasnya, WannaCry diaktifkan apabila pengguna membuka e-mel yang mengan­dungi virus tersebut di kompu­ter mereka.

Virus itu kemudian akan bertindak ‘mengunci’ fail atau data tertentu sebelum penggodam menghubungi mereka untuk menuntut wang tebusan dalam bentuk mata wang digital atau Bitcoin.

Tindakan tersebut dipercayai dilakukan sebagai pertukaran bagi mendapatkan ‘kunci’ untuk ‘membebaskan’ fail yang telah ‘ditawan’ oleh virus berkenaan.

Menyentuh isu ini, Pengarah Urusan firma keselamatan siber Network Box, Micheal Gazeley berkata, walaupun kelihatan re­meh, serangan siber itu sebenarnya akan menjadi bertambah buruk jika tidak ditangani segera.

“Sekali imbas memang kelihatan seperti tidak masuk akal kerana kebanyakan syarikat berkaitan telah melakukan persediaan selama bertahun-tahun untuk menangkis serangan ini,” kata Gazeley seperti dilaporkan CNN.

Walaupun serangan itu berjaya dihenti atau diperlahankan oleh beberapa pakar teknologi maklumat termasuk dalam satu kes di Britain, namun tidak ada satu pihak pun dapat memberi jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan berlaku lagi pada masa depan.

Sejauh manakah bahaya se­rangan siber itu dan apakah kesan jangka panjangnya terhadap dunia?

Secara umumnya, serangan tersebut diketahui boleh ‘berjangkit’ daripada satu sistem komputer kepada sistem lain yang berada dalam kawasan rangkaiannya.

Selain mengganggu dan memperlahankan operasi sesuatu sya­rikat atau jabatan kerajaan, serangan itu boleh menyebabkan pengguna berada dalam ketakutan akibat diugut oleh si penyebar virus berkenaan.

Ketika kisah ‘gangguan’ WannyCry ini masih lagi diperdebatkan, muncul pula perisian ‘jahat’ baharu yang dikenali sebagai UIWIX.

Walaupun masih tergolong dalam kategori malware dan beroperasi di bawah ‘modus ope­randi’ yang hampir sama, portal Trend Micro dalam blognya menafikan dakwaan mengatakan ransomware terbaharu ini merupakan ‘jelmaan’ kepada WannaCry.

“Kemunculan UIWIX adalah tanpa fail dan perisian ini mampu memintas memori selepas mengeksploitasinya ke dalam EternalBlue (perisian yang di­ba­ngunkan oleh Agensi Kese­la­matan Kebangsaan Amerika Syarikat dan digunakan ketika serangan ransomware WannaCry),” kata kumpulan penyelidik Trend Micro.

Dalam keadaan dunia yang aliran teknologinya serba canggih ini, sukar untuk menelah kesudahan yang berlaku akibat serangan ‘pengganas siber’ ini.

Adakah serangan ini boleh diklasifikasikan sebagai bentuk serangan baharu untuk mengu­a­­­sai dunia atau sebaliknya? Ha­nya masa yang boleh menentukan telahan itu.

Bagaimanapun, sebagai peng­­­guna, langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak atau mengurangkan risiko serangan yang sama pada masa depan.