MagicScroll berkenaan memaparkan skrin sentuh fleksibel yang boleh berputar melalui bentuknya yang silinder atau bertukar kepada paparan rata.

Prototaip tablet itu dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Makmal Human Lab di Univerisiti Queen, Kanada, lapor portal Daily Mail.

MagicScroll dibentuk menye­rupai skrol purba yang ditampal pada silinder dan dibuka menjadi tablet PC sepenuhnya berukuran 19.05 senti­me­ter.

Bukan skrol itu sahaja yang mempunyai inspirasi zaman purba malah tablet berke­naan dipasang dengan dua roda pada setiap hujungnya seperti alat pemegang kad zaman dahulu yang dikenali sebagai Rolodex.

Ini bagi membolehkan pengguna skrol nama-nama kenalan menerusi paparan digital melalui putaran roda berkenaan.

Jika pengguna mahu membuat panggilan, mereka hanya perlu memutar skrin belakang kepada bentuk silinder.

“Sebagai telefon, bentuk si­lin­der itu amat mudah dipegang menggunakan sebelah tangan sahaja,” jelas para penyelidik.

Jika pengguna mahu me­li­hat dengan lebih dekat seperti Google Street View, skrin tablet dengan mudah akan me­ma­parkan pemandangan kawasan seperti dalam laman sesawang.

Skrin berkenaan mempunyai 2K resolusi imej dan video yang tepat.

“Apabila dilebarkan, Magic­Skroll menghasilkan paparan pe­nuh 19.05 sentimeter, resolusi tinggi, paparan pelbagai sentuh yang membolehkan pengguna untuk melihat imej dengan lebih nyata,” kata mereka.

Menurut pencipta MagicScroll, alat prototaip itu adalah kecil dan boleh disimpan dalam poket dan mudah untuk dipegang dengan sebelah tangan sahaja berban­ding tablet biasa selain boleh digunakan sebagai alat pengesan.

Pengarah Makmal Human Media, Roel Vertegaal berkata, penciptaan alat itu yang diinspirasi daripada skrol purba kerana bentuknya yang lebih semula jadi, tidak diganggu oleh had masa visual yang panjang.

Pada masa hadapan, para penyelidik itu berharap dapat mencipta alat berkenaan yang lebih kecil daripada sebatang pen dan boleh disimpan dalam poket baju.

“Projek MagicScroll ini membuka minda bahawa skrin tidak semestinya rata dan apa juga bo­leh menjadi skrin,” kata Vertegaal.