Rata-rata kumpulan paleontologi itu mengeluarkan hujah bahawa plot penceritaan dalam filem itu, selain gambaran sebenar tentang haiwan-haiwan gergasi itu telah diubah sesuka hati, selain menyediakan versi baharu tentang bagaimana makhluk hidup dalam era purba dahulu.

Walaupun mereka bersetuju filem Jurassic World telah membantu menanam minat baharu terhadap spesis dinosaur, namun mereka merasakan olahan itu telah menjadikan kajian saintifik tidak benar.

Ahli paleontologi dari Universiti Southampton, Darren Naish mendakwa rupa bentuk dinosaur kononnya hodoh, berkulit keras dan hitam, selain menakutkan itu mungkin tidak benar, sebaliknya binatang purba itu memiliki fizikal lebih gebu serta berwarna terang.

“Filem Jurassic World sangat mengarut, malah gaya penceritaan dan gambarannya tidak benar dengan apa yang kita percaya sebagai betul.

“Terdapat juga usaha yang sengaja memperlihatkan rupa berbeza dengan apa yang kita ketahui tentang haiwan-haiwan ini melalui kajian berpuluh-puluh tahun selama ini,” katanya kepada Sunday Times, baru-baru ini.

Seorang lagi ahli paleontologi, James Kirkland yang sudah terlibat dengan penyelidikan ke atas fosil haiwan gergasi itu selama lebih 20 tahun turut meluahkan rasa kecewa dengan cara pembikinan filem tersebut.

“Filem Jurassic Park sebelum ini juga tidak memberi fakta yang tepat sehingga mengelirukan penonton, kini mereka buat lagi perkara yang sama. Cerita ini tidak sama dengan usaha menggali yang saya lakukan untuk mencari fosil haiwan-haiwan ini,” katanya kepada CBS News.

Sementara itu, saintis yang bertanggungjawab melakukan penyelidikan untuk filem tersebut, Jack Horner berpendapat kritikan daripada ahli paleontologi itu sebenarnya pendapat peribadi dan tidak berdasarkan fakta tepat.