Media dalam talian hari ini memetik Ketua Pusat Informasi Meteorologi Publik Badan Meteo­rologi Klimatologi dan Geofisika (BKMG) Mulyono Prabowo sebagai berkata, keadaan sebegini susah untuk berlaku.

Katanya, apa yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Tebet Barat Dalam 1, Jakarta Selatan itu adalah sesuatu yang agak ganjil kerana hujan selama kira-kira enam jam tertumpu kepada sebuah rumah berkeluasan 5x5 meter.

Video rakaman kejadian berkenaan ditular dalam media sosial di Indonesia kerana ketika kejadian itu berlaku cuaca di kawasan berkenaan adalah panas dan kering dan rumah di sekelilingnya tidak ditimpa walau setitik hujan pun.

Mulyono berkata, ketinggian awan pada musim kemarau menjadikan hujan seperti di Tebet itu sangat sukar berlaku dan hasil kajian pihaknya mendapati ketinggian awan ketika itu adalah sekitar 700 meter hingga 1 kilometer.

Hujan 'eksklusif' di sebuah rumah itu menarik perhatian penduduk di kawasan berkenaan sehingga ada yang mengambil peluang mandi air hujan dan menadahnya dengan bekas untuk disimpan.

Pemilik rumah itu yang dikenali sebagai Muzakir berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 6.30 petang, ketika beliau sedang bermain catur dengan seorang jiran dan menyangka cuaca hujan berlaku di seluruh kawasan itu.

Bagaimanapun, mereka terkejut apabila terlihat kanak-kanak yang kegembiraan bermain hujan dan menjerit kerana hujan hanya berlaku di rumahnya.

Setelah melihat sekeliling beliau mendapati sememangnya hujan hanya turun di rumahnya sahaja dan ia berterusan hingga tengah malam.

Muzakir bagaimanapun tidak mempunyai sebarang tafsiran tentang apa yang berlaku dan membiarkan enduduk di situ datang menyaksikan dan me­rakam kejadian tersebut. – BERNAMA