Pengarah Bahagian Ekonomi Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taipei di Malaysia, David Hsu berkata, Taiwan merupakan negara di rantau berkenaan yang terkehadapan dalam meneroka industri halal berbanding negara lain.

Ini kerana sejak 10 tahun lalu, Taiwan giat membangunkan industri halal dan pemain utama industri berkenaan dengan ba­nyak mempelajarinya daripada Malaysia.

“Saya percaya Malaysia boleh memanfaatkan Taiwan sebagai hab industri halal di negara Asia Timur. China juga mempunyai ramai umat Islam tetapi malangnya mereka tidak mempedulikannya,” kata beliau kepada Utusan Malaysia.

Hsu menjelaskan, industri halal Malaysia telah meraih reputasi tinggi dalam kalangan negara Asia Barat ekoran so­kongan padu kerajaan, sistem pensijilan yang mantap dan kualiti tinggi produk yang dihasilkan.

Oleh itu ujarnya, Taiwan percaya kerja­sama erat dalam in­dustri halal dengan Malaysia dapat dipertingkat lagi ter­uta­manya selepas Taipei menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Sekiranya kedua-dua negara mempunyai kaitan dalam CPTPP, Taiwan boleh melabur ba­nyak peralatan dan kelengkapan berkaitan industri halal di Malaysia.

Menghuraikan tentang CPTPP, Hsu menjelaskan, Taiwan sedang membuat persediaan untuk menyertai blok perdagangan itu dan sedang mengemas kini penilaian impak di samping berusaha untuk memuktamadkan pindaan undang-undang di Parlimen.

Jelas beliau, penyertaan Taiwan dalam CPTPP mendatang­kan banyak manfaat kepada Malaysia kerana ia menggalakkan lebih banyak syarikat Taiwan untuk melabur di Malaysia memandang­kan Kuala Lumpur me­rupakan negara yang mempunyai banyak potensi jika dibandingkan dengan negara anggota ASEAN lain.

Katanya, lebih 1,750 syarikat Taiwan melabur di Malaysia dan mereka bergantung sepenuhnya kepada bekalan peralatan yang stabil, kelengkapan dan kompo­nen utama dari Taiwan.

Ini boleh dilihat daripada ali­ran perdagangan kerana lebih 75 peratus daripada eksport Taiwan ke Malaysia merupakan produk separuh siap seperti komponen elektrik dan peralatan mekanikal, kata beliau.

“Justeru, keanggotaan Taiwan dalam CPTPP boleh menghapuskan tarif dan menggalakkan lebih banyak syarikat Taiwan memilih Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan dan pengeluaran ASEAN ketika mereka mahu mengembangkan sayap di rantau berkenaan.

“Malah, ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pe­ker­jaan buat rakyat Malaysia, meningkatkan eksport dan membantu menghubungkan Malaysia dengan rantaian pembekalan global ICT dan pelbagai industri teknologi lain melalui pelaburan dan kerjasama antara Malaysia dan Taiwan,” katanya.

Hsu berkata, selain industri halal dan pelaburan, CPTPP turut memberi manfaat kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari Malaysia dan Taiwan kerana kedua-dua pihak boleh meningkatkan kerjasama perdagangan.

Ditanya tentang harapan hu­bu­ngan perdagangan antara Malaysia dengan Taiwan, Hsu menjelaskan, Taipei berharap hubungan perdagangan dan eko­nomi melibatkan kedua-dua negara boleh dikembangkan lagi secara mampan.

“Pada masa sama, kami berharap halangan berkenaan tarif boleh dihentikan secara berpe­ringkat pada masa akan datang kerana kami merasakan dasar perdagangan bebas adalah dasar sama diguna pakai dan mahu digunakan kedua-dua kerajaan termasuk sektor swasta,” tambah beliau.