Prayut membuat kenyataan itu semasa bertemu dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang membuat kunjungan hormat ke atas Prayuth itu di pejabatnya di Rumah Kerajaan hari ini.

Prayut dengan tegas menyatakan kesediaan Thailand untuk berganding bahu dengan kerajaan Malaysia demi kepentingan Thailand-Malaysia dan rakyat kedua-dua negara,"kata timbalan jurucakap kerajaan Leftenan Jeneral Weerachon Sukondhapatipak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan hari ini.

Prayut merakamkan ucapan terima kasih kepada Malaysia kerana memainkan peranan membina sebagai fasilitator bagi rundingan damai selatan Thailand.

Menurut Prayut, Thailand mahu menyelesaikan kemelut di wilayah-wilayah di selatan melalui rundingan damai dan melalui penyertaan semua sektor, kata beliau.


Dalam pertemuan itu, Prayut dan Zulkifli juga membincangkan kerjasama yang efektif antara angkatan tentera kedua-dua negara yang telah terjalin sejak 1965 untuk menjaga keselamatan dan keamanan di sepanjang sempadan bersama.



Menurut jurucakap itu, Prayut berasa gembira kerana sekali lagi dapat bertemu dengan Zulkifli. Kali terakhir mereka bertemu ialah pada 2012 apabila kedua-duanya menyandang jawatan Panglima Tentera Darat ketika itu. 



Sementara itu, menurut Weerachon, Zulkifli menyebut bahawa Malaysia meletakkan keutamaan yang tinggi bagi kerjasama di bawah Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) dan Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) bagi menyelesaikan masalah di sempadan. 

Zulkifli tiba di Bangkok dua hari lalu untuk menghadiri mesyuarat Peringkat Tertinggi Thailand-Malaysia (HLC) ke-35 yang berakhir semalam. - BERNAMA